Sabtu, 25 November 2017

CEO JKP disiasat SPRM dan jawatankuasa dalaman, kata Zainal

MALAYSIAKINI



Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) JKP Sdn Bhd menafikan tuduhan mempunyai konflik kepentingan yang dilemparkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

Dalam satu sidang media di Pulau Pinang semalam, Saifuddin mendakwa ketua pegawai eksekutif (CEO) firma itu menyerahkan projek bernilai RM3 juta kepada sebuah syarikat swasta yang mana beliau merupakan pengarahnya sendiri yang mewujudkan konflik kepentingan.

Hari ini, pengerusi JKP Sdn Bhd Zainal Abidin Osman berkata CEO firma berkenaan, Samrulzaman K Mohideen hanya dilantik memegang jawatan itu pada Mei tahun ini.

“Kami belum menerima apa-apa aduan rasmi berkenaan CEO itu,” kata Zainal yang juga mempengerusikan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

“Namun hal ini telah dibangkitkan dalam media sosial sejak Oktober lalu melalui klip video oleh seseorang bernama Sanjay Subramaniam yang membuat laporan dengan SPRM pada 31 Oktober.

“Sejak itu, lembaga pengarah JKP Sdn Bhd dalam sebuah mesyuarat yang dipengerusikan oleh saya pada 30 Okt telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat tuduhan terhadap CEO itu,” katanya yang juga merupakan pengerusi badan perhubungan Umno Pulau Pinang.

“Jawatankuasa siasatan dalaman itu terdiri daripada tiga orang dari lembaga pengarah JKP Sdn Bhd yang telah menasihati CEO itu agar bercuti sementara siasatan dijalankan,” kata Zainal.

Zainal berkata Samrulzaman juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Sanjay atas tuduhan memfitnah pada 6 Nov.

Samrulzaman memberitahu Malaysiakini semalam bahawa ia adalah “cerita lama” namun enggan mengulas lanjut berkenaan dakwaan Saifuddin.

Zainal berkata dakwaan Saifuddin berdasarkan tuduhan sama oleh Sanjay yang juga merupakan anggota PKR.

Beliau menambah siasatan dalam akan selesai dalam tempoh dua minggu dan sedang menunggu dokumen berkaitan.

“Keputusan siasatan dalaman itu akan dilaporkan kepada lembaga pengarah yang akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya.

“Sehingga kini, SPRM atau Polis Unit Jenayah Komersial belu memanggil mana-mana pengarah, pegawai atau kakitangan JKP Sdn Bhd untuk membantu siasatan,” kata Zainal.

“Kami akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk menyerahkan salinan laporan siasatan dalaman dan dokumen berkaitan dengan kes ini,” tambahnya.

Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang ditubuhkan 40 tahun lalu bagi membantu golongan bumiputera dalam bidang ekonomi, perumahan, pendidikan dan modal insan.

JKP ditubuhkan pada 12 Julai 1995 di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Tiada ulasan: