Rabu, 22 November 2017

Bekas pengusaha stesen minyak gam tangan di lantai

Mohd Zaini Samsu Hadi
Pengusaha Stesen Minyak Caltex, Fadzilah Abdul Hamid melekatkan tangannya menggunakan gam pada lantai ketika melakukan protes mengenai isu penganiyaan pengusaha stesen minyak caltex di Menara Millenium, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI,
 
KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengusaha stesen minyak merayu kepada pentadbiran tertinggi Chevron supaya menyelesaikan beberapa tuntutan yang dibuat olehnya di luar mahkamah.

Fazillah Abdul Hamid, 57, ketika ditemui MalaysiaGazette mendakwa, ketika ini pihak pentadbiran stesen minyak Caltex, di Malaysia itu enggan bertemu dengannya untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

Katanya, beliau telah menerima satu notis saman yang dihantar oleh syarikat berkenaan meskipun syarikat itu sebelum ini memberi tempoh 30 hari untuk kedua-dua belah pihak menyelesaikan tuntutan masing-masing.

“Saya cuma nak mereka turun dan datang bincang berkenaan perkara ini. Tak perlulah pergi ke mahkamah. Ini mereka nak tarik saya pergi mahkamah pasal apa.

“Mereka tau saya tak boleh lawan sebab itu mereka bawa perkara ini ke mahkamah. Ada tuntutan yang harus mereka bayar kepada saya,” katanya.

Terdahulu, Fazillah bersama bersama anggota Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pergi ke pejabat syarikat berkenaan di Menara Millenium di sini.

Geram kerana tidak mendapat layanan, Fazillah membuat keputusan melekatkan tangannya ke lantai lobi bangunan pejabat syarikat berkenaan menggunakan gam Super Glue.
Pengusaha Stesen Minyak Caltex, Fadzilah Abdul Hamid melekatkan tangannya 
menggunakan gam pada lantai ketika melakukan protes mengenai isu penganiyaan 
pengusaha stesen minyak caltex di Menara Millenium, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI
Kemelut antara kedua-dua pihak ini bermula apabila kesemua 15 pengusaha stesen minyak Caltex berkenaan menerima notis 30 hari untuk menutup stesen minyak masing-masing, iaitu enam hari selepas sambutan Aidilfitri.

Menurut mereka, tindakan tanpa alasan yang diberikan itu menyebabkan kira-kira 200 kakitangan hilang pekerjaan.

Dalam pada itu Fadzillah turut mendakwa, pengurusan Chevron mengenakan bermacam-macam syarat jika mahu perbincangan diadakan diantara mereka.

Katanya, antara syarat yang dikenakan oleh Chevron iaitu tidak perlu membincangkan mengenai penamatan yang telah dibuat.

Sementara itu, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi berkata, pihaknya kesal dengan apa yang dilakukan oleh Chevron terhadap pengusaha-pengusaha stesen minyak berkenaan.
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusof Azmi (empat kiri) 
bergambar sambil memegang kain rentang boikot ketika melakukan protes mengenai
 isu penganiyaan pengusaha stesen minyak caltex di Menara Millenium, Kuala Lumpur. 
foto IQBAL BASRI,
Katanya, apa yang dilakukan oleh pengurusan syarikat berkenaan seolah-olah ‘tidak berhati perut’ kerana mereka yang terlibat sudah tertindas dengan apa yang dialami.

“Manalah mereka nak cari duit untuk nak bawa perkara ini ke mahkamah. Kita nak perkara ini diselesaikan dengan cara baik.

“Perkara ini mudah sahaja, mereka bayar balik apa yang telah mereka ambil daripada pengusaha-pengusaha ini. Tidak ada perkara lain pun yang diminta.

“Tak perlulah bawa perkara ini ke mahkamah. Mereka itu syarikat jutawan takkan nak buat orang macam ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: