Manzaidi Mohd Amin
LIHAT VIDEO DI SINI
KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di
Kota Bharu hari ini gamat apabila berlaku pertikaman lidah antara
Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdullah Ya’kub dengan Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.
Nozula yang juga wakil rakyat UMNO itu bangun untuk mengambil
bahagian dalam perbahasan pada hari akhir sidang DUN selepas seorang
anggota Exco Kerajaan negeri selesai penggulungan.
Bagaimanapun, Abdullah menggunakan sepenuhnya kuasa speaker untuk
tidak mengizinkan Nozula selaku Ketua Pembangkang berbahas dan
memintanya duduk.
“Sila duduk Yang Berhormat…,” arah Abdullah kepada Nozula yang ketika itu bangun untuk mendapatkan kebenaran berbahas.
Nozula memberitahu, sebagai ketua pembangkang perlu diberi peluang
untuk membangkitkan permasalahan rakyat termasuk penduduk di kawasannya
di Gua Musang.
“Saya tak bagi peluang perbahasan. Satu hari (bersidang semalam), 10 orang (ADUN) sudah bercakap (berbahas),” kata Abdullah.
Namun, Nozula menjelaskan, peluang yang diberikan kepada 10 ADUN itu semuanya dari kerajaan iaitu Pas, bukan kepada ADUN BN.
“Kelmarin (semalam) saya bangun (nak ambil bahagian), Tuan Speaker
beri kepada (ADUN) Pas. Saya bangun lagi, (speaker) beri (kepada) orang
Pas. Berapa orang (ADUN) BN saja (dapat peluang),” ujar Nozula.
Tanpa menghiraukan rayuan itu, Abdullah memberi amaran kepada Nozula,
jika dua kali lagi arahannya supaya duduk tidak dihiraukan, beliau akan
mengarah Bentara supaya membawanya keluar dari dewan.
Nozula yang kesal dengan arahan itu tetap tidak mahu duduk dan serentak itu juga beberapa bentara DUN menghampirinya.
Dalam nada sedih Nozula berkata, dia akan duduk selepas speaker memberinya peluang berbahas.
Tetapi Abdullah mengarahkan bentara menjalankan tugas membawa keluar Nozula keluar dewan.
Ketika itu juga Nozula menangis dengan suara tersekat-sekat berkata,
beliau membawa suara rakyat dan suara mereka perlu dibangkitkan dalam
DUN untuk perhatian kerajaan negeri.
“Saya ada rakyat… (rakyat) ada masalah. (Tetapi beliau) tidak boleh nak bawa suara mereka (rakyat).
“Kalau itu tugas speaker, beri arahan kepada saya (keluar dewan),
tuhan akan balas…kerana tidak beri peluang kepada saya berucap mewakili
rakyat,” kata tersekat-sekat sambil menyeka air mata.
Nozula kemudian dibawa keluar dari dewan oleh beberapa Bentara sambil diiringi beberapa ADUN BN.
DUN Kelantan bagi Bajet 2018 bersidang selama tiga hari bermula 20
November lalu. Tempoh bersidang yang pendek menimbulkan rasa tidak puas
hati ADUN BN selaku pembangkang di negeri itu. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan