Jumaat, 24 November 2017

Bekas SUK Selangor dilantik Pengerusi Mais



Khusrin gantikan Adzib sebagai Pengerusi Mais.

AMANAH mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang baru bagi menggantikan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

“Saya berharap Mais akan lebih cemerlang di masa akan datang dengan perlantikan Datuk Khusrin yang kembali ke sana kerana beliau ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum ini,” kata pengarah komunikasi AMANAH Khalid Samad.

Beliau yang juga ahli parlimen Shah Alam berharap selepas ini Mais akan mengendalikan isu penggunaan wang zakat Selangor dengan baik.

“Saya berharap selepas ini tidak ada lagi pengemis di kalangan rakyat Selangor yang beragama Islam.

“Saya juga berharap tidak ada lagi anak Selangor yang tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang kerana ketiadaan perbelanjaan kerana kutipan zakat di Selangor amat memberangsangkan,” katanya.

Khalid juga berharap, kerjasama yang lebih rapat dapat diadakan antara kerajaan negeri dengan Mais dan juga Jais.

“Kita berharap tidak ada lagi penguatkuasaan terhadap sesuatu perkara tanpa pengetahuan Exco agama Selangor dan suasana syura berjalan dengan baik dengan mengambil kira implikasi bagi setiap tindakan,” katanya.

Tiada ulasan: