Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Permohonan injunksi Datuk Husam Musa ditolak kerana beliau
tiada 'locus standi' dalam soal status pemilikan tanah di Wisma Tok
Guru, kata Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini yang menolak permohonan injunksi
dikemukakan ADUN Salor itu terhadap pemilik baru tanah di Wisma Tok
Guru.
Ujar Che Abdullah, dengan keputusan tersebut, Husam tiada hak untuk
menghalang program PAS di tanah berkenaan tambahan pula ia mendapat
kebenaran pemiliknya.
"PAS dapat kebenaran secara bertulis dan mulut daripada tuan tanah.
Tuan tanah untuk kita menggunakan harta ataupun tanah beliau. Untuk
digunakan oleh PAS.
"Adapun injunksi yang dibuat oleh Datuk Husam itu, mahkamah telah pun
menolak injunksi tersebut atas alasan beliau tidak ada 'locus standi'.
'Locus standi', orang lain tuan tanah tiba-tiba dia nak menghalang.
"Kita yakin daripada awal. Oleh kerana tidak ada hak untuk beliau untuk
menghalang sekumpulan orang ramai untuk mengadakan solat hajat. Tuan
tanah yang beli tanah, maka dia jemput orang sembahyang hajat tiba-tiba
ada pihak yang menghalang. Jadi ini satu suasana yang agak pelik,"
ujarnya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi Husam
yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan bagi menghalang PAS
menggunakan tanah Wisma Tok Guru.
Penolakan injunksi itu bermakna PAS boleh menjalankan aktivitinya di atas tanah wisma berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache berkata keputusan itu setelah
mahkamah mengambil kira hujahan kedua-dua pihak dan memberi pertimbangan
wajar.
"Mahkamah membuat keputusan ini dengan mengambil kira fakta paling
penting iaitu defendan (Mohd Yasin Yusoff) adalah pemilik tanah yang sah
melalui Kanun Tanah Negara 1965.
"Malah, permohonan ini juga dianggap tidak kukuh kerana plaintif hanya
menuntut pampasan terhadap Wisma Tok Guru, bukannya hak pemilikan
bangunan terbabit," demikian kata Ahmad dalam penghakimannya.
Dalam pada itu, Che Abdullah yang juga ADUN Wakaf Bharu ketika diminta
mengulas mengenai perbicaraan mahkamah bersabit status quo pemilikan
bangunan berkenaan yang bakal bermula 4 Disember ini, melahirkan
keyakinannya bahawa kemenangan akan berpihak kepada PAS.
"Kita akan berterusan maknanya menggunakan peguam-peguam kita untuk
mempertahankan hak kita. Kita yakin itu memang hak kita. Kita yakin
dengan kebijaksanaan hakim mahkamah yang akan memberikan keputusan yang
akan memihak kepada kita.
"Lebih-lebih lagi dengan keputusan yang diterima hari ini yang
menjelaskan bahawa Datuk Husam tidak ada lokus standi untuk menghalang
pemilik daripada melaksanakan haknya ke atas pemilikan tersebut,"
tambahnya.
Isu perebutan tanah itu tercetus susulan tanah yang asalnya milik bekas
ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan
isterinya sebagai pemilik telah dijual kepada Setiausaha Kerja PAS
Kelantan, Mohd Yasin Yusoff dengan harga RM700,000.
Tanah itu menempatkan pejabat Ahmad Rosli sebagai ADUN Salor (pada
ketika itu) dan kemudiannya diserahkan kepada Husam sebagai ADUN baru
pada 2008.
Husam sebelum ini mendakwa beliau diberi keizinan oleh Ahmad Rosli untuk membina bangunan tambahan baru di tanah tersebut.
Husam kemudian menamakan bangunan berkenaan sebagai Wisma Tok Guru
sebagai memperingati bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat.
Bagaimanapun krisis dalaman menyaksikan ADUN Salor itu dipecat PAS pada Mei tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan