BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata
isu-isu imigresen berkaitan laluan Lebuhraya Pan Borneo merentasi
Brunei, dijangka dapat diselesaikan sebelum rundingan tahunan Pemimpin
Malaysia-Brunei tahun depan.
Ujarnya, dalam pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah
bersempena rundingan tahunan pemimpin ke-21 Malaysia-Brunei, cadangan
Malaysia untuk mewujudkan laluan baharu dari Bandar Seri Begawan ke
Limbang di Malaysia, turut diterima baik oleh baginda Sultan.
Baginda juga mahu supaya proses memberi kelulusan imigresen yang
melibatkan keperluan cop pada pasport sebanyak tujuh kali untuk laluan
sehala merentasi Brunei ketika ini, dikurangkan kepada hanya sekali cop
ketika masuk, dan sekali lagi semasa keluar, kata Najib.
Katanya, Malaysia juga akan mencadangkan supaya dibangunkan satu sistem
yang mudah diaplikasi di samping menjaga keperluan keselamatan,
bertujuan memudahkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara, dan pada
masa sama, mempunyai ciri-ciri keselamatan yang diperlukan.
“Perkara ini sudah lama dibincangkan, kedua-dua pihak bersetuju supaya
ia mesti diselesaikan sebelum rundingan tahunan pemimpin akan datang,”
katanya dalam persidangan media selepas mengadakan pertemuan empat mata
dengan Sultan Hassanal Bolkiah di sini petang ini.
Najib berkata, Sultan Hassanal Bolkiah jelas menantikan usaha ke arah
melancarkan pergerakan laluan Pan Borneo, kerana menurutnya, semasa
baginda menyertai Regatta di Kuching Sarawak minggu lepas, anggota
pasukan baginda yang menggunakan laluan darat terpaksa menempuh
perjalanan sehingga 14 jam untuk sampai.
Perdana menteri berkata, beliau memaklumkan bahawa apabila siap
Lebuhraya Pan Borneo, tempoh waktu perjalanan itu dijangka boleh
dikurangkan sehingga separuh daripada tempoh waktu ketika ini.
“Itulah kesan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo itu nanti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan