Rabu, 22 November 2017

Guan Eng mahu Kerajaan Pusat umum jumlah bantuan kewangan mangsa banjir di P. Pinang

 
 Guan Eng mahu Kerajaan Pusat umum jumlah bantuan kewangan  mangsa banjir di P. Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berharap Kerajaan Persekutuan dapat mengumumkan jumlah bantuan kewangan yang bakal dihulurkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudahpun membuat pembayaran sebanyak RM400 kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas pada 15 September lalu.

“Janji yang kita (Kerajaan Negeri) umumkan kita tunaikan untuk mangsa-mangsa banjir pada 4 dan 5 November baru-baru ini, Kerajaan Negeri akan memberikan RM700 yang akan dibayar pada akhir tahun ini.

“Cuma kali ini, buat pertama kalinya kita membuat permohonan secara dalam talian seperti yang diumumkan semalam,” ujarnya pada sidang media di Komtar tengah hari tadi.

Guan Eng dalam pada itu, melahirkan rasa kesal dengan jawapan diterimanya melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini, berhubung jumlah wang bantuan dihulurkan Kerajaan Persekutuan kepada mangsa-mangsa bencana sejak 2013 sehingga kini mengikut negeri.

“Saya kesal apabila jawapan yang diterima daripada Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bahawa sejak 2013 sehingga September 2017, Kerajaan Pusat telah membelanjakan RM234,883,470 bagi membantu mangsa bencana seluruh Malaysia (melalui bantuan terus Wang Ihsan Bencana).

“Pulau Pinang hanya menerima RM35,500, paling kecil iaitu 0.015 peratus daripada keseluruhan jumlah yang dibelanjakan untuk bantuan bencana.

“Saya minta supaya Kerajaan Pusat dapat membuat bayaran sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir (di Pulau Pinang), bukan untuk Kerajaan Negeri tetapi kepada mangsa-mangsa banjir.

“Janganlah berikan gambaran bahawa Pulau Pinang telah dilupai…tidak berlaku bencana banjir yang teruk, ini tidak patut dan tidak munasabah…sedangkan negeri Kelantan menerima RM90.34 juta dan Pahang (RM41.06 juta), tetapi Pulau Pinang hanya RM35,500,” jelasnya yang berharap Kerajaan Persekutuan dapat membuat pembayaran kepada mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang dengan segera.

Berdasarkan jawapan diterima, Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan bayaran bantuan wang ihsan kepada mangsa-mangsa banjir sebanyak RM500 mengikut senarai nama yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta tertakluk kepada proses pemutihan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang rentatan bencana banjir baru-baru ini.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan orang tersayang dan hari ini saya menyampaikan sedikit bantuan berjumlah RM2,000 kepada keluarga terlibat,” katanya.

Tiada ulasan: