Ahad, 8 Oktober 2017

Terdapat kumpulan yang mahu memporak-perandakan keharmonian beragama di negara kita ‘ – Zahid

THE MALAYSIAN TIMES

Timbalan Perdana Menteri berkata penangkapan itu bertujuan menyekat kegiatan kumpulan terbabit yang mahu memberi gambaran bahawa Malaysia tidak mengamalkan kebebasan beragama.

Katanya penangkapan yang dilakukan oleh pasukan anti keganasan cawangan khas A8 Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan susulan oleh pihak polis bagi membanteras elemen keganasan di negara ini.

“Terdapat kumpulan yang mahu memporak-perandakan keharmonian beragama di negara kita dengan mahu membakar dan merosakkan rumah ibadat sama ada masjid, tokong, kuil dan gereja.

Tujuan mereka adalah untuk memberikan gambaran bahawa Malaysia sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan beragama dan isu ini harus ditangani oleh pihak PDRM kerana kita mahu mengekalkan kedudukan keharmonian beragama di negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Deepavali 2017 kepada lebih 800 penerima bagi kawasan Parlimen Bagan Datuk di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejayaan PDRM menggagalkan cubaan merekrut banduan di Penjara Tapah untuk menjadi militan, selepas menahan dua bekas tahanan penjara itu.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata lapan lelaki ditahan di Selangor, Sabah dan Perak kerana disyaki terbabit aktiviti keganasan di negara ini selain dipercayai merekrut banduan untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadat orang Islam, Kristian dan Hindu bagi mencetuskan konflik antara kaum.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata ketika ini maklumat kegiatan berhubung elemen itu hanya dikesan di Penjara Tapah.

“Perkara ini telah dapat diatasi dengan mengasingkan banduan-banduan yang terbabit dalam kegiatan keganasan ke sel-sel yang berlainan supaya deradikalisasi dapat dilakukan seterusnya mengelak mereka mempengaruhi banduan atau pegawai penjara,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa kem tahanan di Kamunting, Perak adalah kem pemulihan dan mana-mana pengganas yang didapati terlalu berbahaya akan ditempatkan di penjara lain.

“Saya telah menerima nota bantahan daripada anggota Parlimen Taiping (Nga Kor Ming) yang gusar dan khuatir jika berlaku sesuatu yang tidak baik di kem tahanan berkenaan,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid program deradikalisasi yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri ke atas 15,000 tahanan di negara ini sejak 1948 telah berjaya memulihkan 97.5 peratus golongan itu setakat ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan berita gembira buat masyarakat kaum India dalam pembentangan Bajet 2018, akhir bulan ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat India supaya memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan pelan tindakan kaum India dalam 10 tahun akan datang dapat dilaksanakan. — BERNAMA


Tiada ulasan: