Isnin, 2 Oktober 2017

Tahfiz janji agih duit kutipan pada waris selepas audit

 
Proses audit sumbangan orang ramai mengambil masa 1 hingga 2 minggu, kata jurucakap Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.


salam-abdul-ghani
Salam Abdul Ghani, wakil jurucakap kepada pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.


KUALA LUMPUR: Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah akan mengagihkan wang sumbangan orang ramai kepada waris mangsa kebakaran selepas audit, kata jurucakap tahfiz itu.

Salam Abdul Ghani berkata proses audit wang sumbangan orang ramai dari diterima setakat 30 September akan mengambil masa 1 hingga 2 minggu, dan Darul Quran Ittifaqiyah mengambil khidmat audit luar supaya audit dijalankan dengan telus.

Ketika ditanya sama ada waris sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, Salam berkata peguam akan memaklumkan kepada waris “nanti”.

“Untuk pengetahuan ibu bapa yang mengadu, duit itu kita akan audit secara profesional dan kemudian akan bagi-bagi. Ada bahagian untuk waris.

“Buat masa ini belum bagi (kepada waris) lagi,” katanya ketika ditemui FMT di hadapan sekolah tahfiz. Beliau sedang menunggu orang datang memberi sumbangan, yang diberi tanpa putus sejak tragedi menimpa sekolah agama itu 14 September lalu.

tahfiz

Orang ramai masih menderma walaupun tempoh kutipan derma kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah telah tamat.

Dalam kejadian itu, seramai 21 pelajar dan 2 kakitangan tahfiz terkorban selepas gagal melepaskan diri daripada kebakaran kerana sekolah itu tidak menyediakan ciri-ciri keselamatan kebakaran.

Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, pusat tahfiz itu beroperasi tanpa kebenaran daripada bomba. Setakat ini, tiada individu daripada pihak pengurusan tahfiz didakwa akan kegagalan itu.

Meskipun begitu, tinjauan FMT hari ini mendapati ramai orang yang bersimpati datang memberi derma. Menurut Salam, tempoh kutipian tamat 30 September lalu, tetapi pihaknya tidak akan menolak orang ramai yang ingin menderma setiap hari.

“Yang nak bagi seluruh Malaysia dan kita tidak boleh tolak. Sepatutnya tak ada tempoh sebab orang sentiasa hari-hari datang. Takkan orang datang kita tolak,” katanya.

Sebelum ini, Pengetua Muhammad Zahid Mahmood berkata setakat ini dianggarkan hampir RM1 juta diterima daripada orang ramai.

Zahid dalam pertemuan dengan keluarga mangsa 22 September lepas dilaporkan berkata pihak sekolah hanya akan mengambil 30% daripada sumbangan itu dan selebihnya akan diserahkan kepada waris.
Salam berkata demikian selepas beberapa waris mangsa kebakaran itu mengadu mereka belum menerima sumbangan yang dikumpul daripada orang ramai.

Seorang ibu mangsa yang tidak mahu dikenali memberitahu FMT, mereka menuntut agar Zahid dapat menjelaskan sama ada mereka akan menerima wang sumbangan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung dijangka beroperasi semula awal 2018 di bangunan baharu yang terletak tidak jauh dari bangunan yang terbakar. Pusat itu pada awalnya dijangka beroperasi bulan ini tetapi ditangguhkan selepas bomba menyuruh pengendali tahfiz melakukan ubah suai dan penambahbaikan bagi mematuhi ciri keselamatan bomba.

Sementara itu, usaha FMT untuk mendapatkan komen daripada Zahid tidak berjaya. Menurut Salam, Zahid buat masa ini tidak dapat menjawab soalan media dan perlu berehat.

“Sebab hari-hari dan setiap saat ada orang buat panggilan dengannya,” kata Salam.

Minggu lalu, Zahid enggan mengulas panjang mengenai isu wang sumbangan kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan waris.

“Buat masa ini kita masih dalam perbincangan dengan waris. Harap media faham,” katanya ringkas ketika ditemui FMT di sekolah tahfiz itu.

Tiada ulasan: