Jumaat, 6 Oktober 2017

Rel kelajuan tinggi KL-Singapura mungkin RM77 bilion?

 
Ahli ekonomi Singapura berkata RM77 bilion anggaran terbaharu projek itu di mana sebahagian besar untuk membina jambatan dan terowong.


keretapihsr


PETALING JAYA: Kos membangunkan rel kelajuan tinggi (HSR) menyambungkan Kuala Lumpur dan Singapura dijangka lebih tinggi daripada anggaran sebelum ini, dedah sebuah badan pemikir Singapura hari ini.

Seorang felo kanan Institut Kajian Asia Tenggara (Iseas), Francis E HUtchison berkata ianya boleh meningkat sehingga S$25 bilion (RM77 bilion).

“Apabila YTL Corp Bhd menyediakan anggaran untuk HSR itu pada 2006, kos dicadangkan adalah S$2.7 bilion.

“Apabila Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Malaysia menjalankan analisis sendiri menerusi satu siri makmal, ianya kemudian diubah kepada lebih kurang S$5.5 bilion. Kini, yang terbaru saya dengar lebih kurang S$20 bilion hingga S$25 bilion,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh The Edge, pada satu persidangan di Singapura hari ini.

Julai lalu, Menteri Kewangan Ke-2 Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata kos projek itu mungkin RM50-60 bilion.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai projek HSR itu.

Projek HSR 350km itu akan mempunyai 8 stesen, iaitu Bandar Malaysia (di Kuala Lumpur), Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Sementara itu, Hutchison menganggarkan sebahagian besar kos pembangunan HSR itu akan digunakan untuk prasarana awam, meliputi pembinaan jambatan dan terowong.

“Prasarana awam mungkin memakan kos sebanyak S$15 bilion. Kos bawah tanah untuk pembinaan projek itu mungkin 5 kali ganda daripada kos atas tanah.”

“Baki kos akan digunakan untuk pemasangan trek, pengelektrikan dan kesepaduan sistem, yang dianggarkan memakan sebanyak $$5 bilion, dan akhirnya adalah kereta api itu sendiri yang mungkin memakan sebanyak $$1.7 bilion,” katanya seperti yang dipetik oleh akhbar kewangan itu.

Hutchison bagaimanapun menambah, maklumat itu masih belum mengambil kira kos pemerolehan tanah pada kedua-dua belah tambak.

Persoalan tentang kos ke atas komuter berdasarkan pelaburan yang tinggi itu juga disentuh Hutchison yang merupakan seorang koordinator dan felo kanan Program Pengajian Ekonomi Rantau dan program Pengajian Malaysia di Iseas.

“Berdasarkan pengiraan saya, tiket satu hala antara Kuala Lumpur dan Singapura mungkin lebih kurang S$60 sehingga S$65.

“Saya faham kekerapan perkhidmatan HSR itu mungkin pada 4 kali sejam, 1 untuk perkhidmatan ekspres tanpa henti, dan 3 yang lain perkhidmatan ulang alik antara hentian perantara,” katanya sambil membandingkannya dengan perkhidmatan ekspres tanpa henti antara Tokyo dan Osaka, dengan 14 perjalanan sejam.

Menurut The Edge, Hutchison berkata untuk mendapatkan balik kos projek HSR itu, pengendali mestilah menentukan hasil antara kutipan tambang dan bukan tambang, yang mungkin termasuk hotel dan pusat beli-belah, di sepanjang hentian, seperti yang dilakukan di Jepun.

Beliau juga menyebut tentang tawaran Jepun untuk projek HSR yang lebih baik berbanding yang ditawarkan China, kerana “mereka cenderung untuk fokus kepada kualiti HSR mereka, dan ia telah terbukti”.

Tiada ulasan: