Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) penahanan anggotanya susulan kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akibat didera, Jumaat lalu.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata kejadian seperti itu tidak harus berulang dan perlu dihentikan segera.
Beliau turut menafikan perbuatan itu adalah budaya dalam tentera bagi anggota yang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, sebaliknya ia adalah kes terpencil.
“Ia bukan budaya dan regimentasi. Jika budaya, ia berlaku setiap hari tetapi tidak. Kes terakhir berlaku lima ke 10 tahun lalu di Sungai Besi.
“SOP ada (bagi penahanan anggota) tapi mungkin ada yang tidak patuh. Kita serahkan kepada polis untuk siasat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan, pagi ini seperti dilapor BH online.
Dua anggota TLDM meninggal dunia, Jumaat lalu, dipercayai akibat didera secara fizikal ketika dalam tahanan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan teliti terhadap kes itu dan ketika ini, terlalu awal untuk membuat sebarang rumusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan