KUALA LUMPUR: Akademi Latihan Penulisan Harakah akan menganjurkan Bengkel Penulisan Berita PRU14 di Kolej Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini 21 Oktober depan.
Bengkel tersebut bertujuan memberi latihan intensif penulisan berita standard secara khusus dan terfokus melibatkan isu, gerak kerja, rutin perjalanan dan aktiviti parti serta calon PRU14.
Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob berkata,
penyertaan bagi bengkel tersebut hanya untuk wakil-wakil yang
didaftarkan oleh pihak PAS Kawasan.
Terang beliau, ia sekali gus untuk menyelaraskan penyaluran berita PRU14 terutama dari pihak calon terus kepada Harakah bagi penyiaran dan medium rujukan rasmi.
"Bengkel sehari ini akan dedahkan peserta kepada teknik penulisan
berita yang betul dan perspektif penting untuk diberitakan semasa
pilihan raya.
"Semasa pilihan raya amat penting setiap perkara diberitakan untuk pengetahuan ramai terhadap hakikat sebenar yang berlaku.
"Kerana rutinnya, kita bukan sahaja melaporkan pergerakan di pihak
kita, tetapi juga seluruh perkara termasuk tindakan pihak lawan," jelas
beliau.
Maklumnya, bengkel meliputi pembentangan berkaitan sudut pandang
serta praktikal oleh panel bertauliah serta berpengalaman dalam bidang
media dan terbabit khusus dalam kerja-kerja pilihan raya.
Katanya juga, bengkel ini dihadkan jumlah penyertaannya, namun akan
diadakan untuk sekurang-kurangnya empat sesi bagi membolehkan
penyertaan dari seluruh PAS Kawasan.
Wan Nordin menjelaskan, tarikh bagi sesi berikutnya akan
dimaklumkan kemudian, manakala tarikh tutup pendaftaran bagi sesi
pertama ini adalah pada 18 Oktober.
PAS Kawasan di seluruh negara yang akan menghantar penyertaan
tersebut perlu membuat pendaftaran awal dengan menghantar butiran
peserta ke email harakahbaru2017@gmail.com.
Peserta yang didaftarkan wajib membawa surat pengesahan dari PAS
Kawasan masing-masing dan setiap peserta dikenakan yuran RM50 bagi bahan
bengkel dan makan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan