Oleh Zeannaima Md Yusof
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sepatutnya
lebih bertanggungjawab bersabit penganjuran pesta arak di negeri itu dan
bukannya menolak tanggungjawabnya kepada pihak lain.
Penganalisis politik, Dr Kamarul Azman Yusoff berkata Azmin sepatutnya
ada keberanian politik untuk menolak penganjuran program sebegitu demi
keselamatan rakyatnya.
Ujar Kamarul, penganjuran program sensitif sebegitu tidak seperti
tahun-tahun sebelumnya berikutan ia disahkan Ketua Polis Negara (KPN),
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mendapat ancaman keselamatan yang nyata.
"Azmin sepatutnya lebih bertanggungjawab dan tidak bermain politik
dalam isu ini. Kena hormat pada pihak keselamatan, khususnya ketua polis
negara yang sudah tentu mendapat maklumat risikan yang terperinci.
"Disebalik bermain politik, Azmin sepatutnya menjaga dan mengutamakan
keselamatan rakyatnya sendiri. Kalau bom meletup, bukan pengunjung
sahaja yang terjejas," ujarnya ketika ditemubual secara eksklusif
Antarapos.
Azmin ketika mengulas penganjuran Centro Mall German Food &
Beverage Festival 2017 berkata program itu boleh diteruskan jika
menepati segala syarat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata demikian biarpun KPN mengesahkan ada ancaman keselamatan nyata, jika ia diteruskan pada 12 dan 13 Oktober ini.
Azmin berkata penganjuran festival itu yang sebelum ini dikenali
sebagai Oktoberfest melibatkan penjualan arak tidak mendatangkan masalah
kepada kerajaan negeri.
"Bila ketua polis negara berkata memang ada ancaman keselamatan
terhadap majlis itu, maka jangan bagi kelulusan. Apa nak takut? Kenapa
takut sangat dengan Teng Chang Kim (Exco Selangor).
"Trend di negara-negara luar menunjukkan bahawa ancaman keselamatan itu
memang wujud. Tapi kita lihat pemimpin PH sengaja meniup api kemarahan
bukan islam kepada kerajaan," kata Kamarul.
Kamarul juga tidak menolak Azmin terpaksa berbuat demikian untuk
menjaga hati rakan komponennya dalam Pakatan Harapan (PH) selain
terpaksa mengambil hati pengundi bukan Melayu.
"Azmin dan pemimpin PH mahu jaga hati pengundi bukan Melayu dan Melayu
Liberal. Sebab di Selangor banyak kawasan bandar dan kawasan campuran.
"Segmen bukan Melayu ini penting penting untuk PH kekal berkuasa," katanya.
Polis sebelum ini turut menasihati pembatalan penganjuran Better Beer
Festival 2017 di Publika Shopping Gallery atas sebab yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan