MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)
berpendirian pesta arak BetterBeerFestival 2017 (F&B) tidak wajar
diadakan di Malaysia dan pihak berkuasa perlu tegas dengan keputusan
tidak meluluskan permohonan pihak penganjur.
Penganjur seolah-olah mahu menjadikan negara ini menjadi sebuah negara berimej penagihan arak.
Mengikut penganjurnya, Mybeer (M) Sdn Bhd, acara yang dikatakan
dianjur setiap tahun sejak 2011 di Malaysia adalah bersamaan dengan
F&B yang diadakan di Jerman atas nama Octoberfest.
Anehnya penganjur tidak melihat bahawa menganjurkannya di Malaysia
sebagai suatu isu yang sensitif memandangkan Malaysia adalah sebuah
negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam.
Dengan mengungkap bahawa isu keselamatan dan pematuhan semua
peraturan pihak berkuasa tempatan ketika acara itu berjalan akan
dipatuhi, mereka merasakan menganjurkan pesta itu sepatutnya dibenarkan.
Soalnya adakah Malaysia memerlukan acara seperti itu diadakan di
negara ini? Apa manfaatnya acara minum arak secara beramai-ramai secara
terbuka diadakan dalam bentuk pesta yang khusus untuk arak?
Harus diingat, kini wujud banyak gerakan anti arak di seluruh dunia.
Badan Kesihatan Sedunia juga mempunyai kempen untuk membanteras
ketagihan arak (alcoholism) kerana jelas membawa mudarat kepada pelbagai
aspek kesejahteraan masyarakat.
Kesan kepada kesihatan, sosial, ekonomi, serta keselamatan sosial amat jelas bila masyarakat terdedah kepada ketagihan arak.
Amerika Syarikat kini mempunyai 15 juta warganya yang sudah disahkan
mengalami ketagihan yang teruk. Kesannya kini dirasai merentas sosial
dan ekonomi masyarakatnya.
India juga memiliki gerakan sivil yang meluas mahu membanteras
ketagihan arak kerana kesannya ke atas keluarga juga sangat parah.
Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha untuk membantu
negara-negara di seluruh dunia merangka polisi yang berkesan bagi
mengatasi masalah arak dan akibat buruk dari minum arak.
Global Alcohol Policy Alliance (GAPA), sebuah badan bukan kerajaan
antarabangsa berusaha untuk mengatasi isu komersialisasi industri arak
yang sedang membebankan kesihatan dan keselamatan sosial sesebuah
negara. GAPA menggabungkan pelbagai NGO untuk bekerjasama bagi mengatasi
isu ketagihan arak.
Pihak yang menyokong pesta arak yang mahu dianjurkan di Kuala Lumpur
atas nama hak untuk minum arak dalam kalangan bukan Islam, hanya
berdalih bahawa hak bukan Islam minum arak tidak boleh dihalang. Namun
menafikan hak masyarakat untuk menolak akibat buruk dari ketagihan arak
kepada kesihatan dan sosial masyarakat tidak pula diberi perhatian.
Kini Malaysia sudah menjadi antara negara yang memiliki konsumpsi
arak perkapita yang tinggi. Tidak dapat dinafikan pelbagai masalah
sedang dan bakal dihadapi oleh masyarakat jika ketagihan arak di negara
ini menjadi fenomena dan tidak dibanteras.
Tanggungjawab pihak berkuasa adalah untuk memastikan kesihatan dan
keamanan masyarakat terpelihara. Keputusan pihak berkuasa tidak
meluluskan acara Beer Fest tersebut adalah wajar. Keputusan itu
berdasarkan bantahan orang awam kerana acara itu dibuat secara terbuka.
Hak orang bukan Islam dibolehkan minum arak di negara ini sering
dijadikan hujah, soalnya apakah hak masyarakat untuk mendapat
perlindungan dari kerosakan yang dibawa oleh arak tidak boleh
dipertegaskan juga? Untuk menganjurkan pesta minum arak yang mempromosi
budaya dan gaya hidup minum arak sudah pasti bercanggah dengan polisi
negara menjaga kesihatan masyarakat.
Kami berpendirian pihak kerajaan harus konsisten dengan dasar
memelihara kesihatan rakyat dan tidak tunduk kepada pihak yang ghairah
dengan promosi industri arak yang dapat meraih keuntungan besar atas
kerosakan masyarakat.
*MOHD AZMI ABDUL HAMID, Presiden Mapim - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan