Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Amanah masih belum memuktamadkan kerusi yang akan
ditandingi oleh Presidennya, Mohamad Sabu, pada Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU14), meskipun ada desas-desus yang mengatakan beliau berkemungkinan
menggantikan tempat Khalid Samad di Shah Alam.
Ketika ditanya pemberita pada sidang medianya hari ini, Mohamad atau
Mat Sabu berkata, perkara berkenaan masih belum diputuskan.
"Terserah kepada jawatankuasa (pilihan raya parti), mungkin sama ada di
Kedah, Selangor.. mungkin di Pulau Pinang," katanya ringkas.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir pula menambah buat masa ini Mat
Sabu menerima lebih daripada 10 tawaran untuknya bertanding di kerusi
Parlimen.
Terdahulu timbul ura-ura bahawa Khalid mungkin bertanding di Johor pada
PRU14 selepas Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mengesahkan
parti tidak menolak langkah itu diambil dalam usaha memuktamadkan beliau
bertanding di Johor.
Bagaimanapun Salahuddin berkata, Amanah perlu berunding dahulu dengan
Pakatan Harapan (PH) kerana kerusi Johor Bahru merupakan milik PKR.
Salahuddin juga turut tidak menolak Mat Sabu akan menjadi calon untuk bertanding di Shah Alam bagi menggantikan Khalid.
Malah sebelum ini Amanah Selangor juga pernah mencadangkan untuk Mat
Sabu bertanding di Shah Alam, kerusi yang disandang Khalid sejak 2008.
Khalid yang turut hadir dalam sidang media yang sama berkata, beliau
akan bertanding di Parlimen Johor Bahru, hanya sekiranya abang beliau
Tan Sri Shahrir Samad tidak mempertahankan kerusi berkenaan.
Khalid berkata, beliau mengelakkan pertembungan bersama Shahrir kerana
berpandangan ‘tidak manis’ untuk adik-beradik saling berebut kerusi yang
sama.
Ujarnya, beliau sedia untuk bertanding di mana-mana kerusi di Johor
yang mana parti rasakan sesuai untuknya, sekalipun dirinya sudah selesa
di Shah Alam.
Menurutnya lagi, sama ada beliau mampu menyumbang kepada kebangkitan PH
di Johor, semua perkara berkenaan sedang dikaji parti sebelum
memuktamadkan kerusi yang akan ditandinginya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan