Jumaat, 25 Ogos 2017

Harap lantikan politik PKR di Kelantan tidak khianat kepercayaan diberikan PAS - Che Abdullah

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Kelantan meminta semua lantikan politik PKR tidak membuat sebarang dakwaan dan tuduhan melulu di pentas politik berhubung urusan pentabiran kerajaan negeri tanpa sebarang bukti atau fakta kukuh.
 
Sebaliknya Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata isu berkaitan kerjaan negeri perlu mendapat penjelasan yang terperinci dan tepat daripada pihak terbabit.
 
"Cumanya ahli PAS minta mana-mana ahli PKR seperti juga ahli PAS yang naik ke pentas PAN dan sebagainya kita bagi amaran dan sebagainya, jadi PKR pun demikianlah, 
 
"Maknanya kita menerima baik keputusan PKR tidak meletakkan jawatan daripada jawatan-jawatan dalam kerajaan negeri Kelantan," katanya kepada Antarapos.
 
Katanya, tindakan itu tidak betul memandangkan tohmahan dan tuduhan yang dibuat secara melulu dengan tujuan tertentu tidak akan membawa sebarang makna.
 
"KIta mengharapkan apabila mereka berada dalam kerajaan mereka ini sama-sama memberi penjelasan yang betul.
 
"Bukan kita nak suruh mereka reka cerita kebaikan kerajaan negeri tapi supaya mereka memberikan penjelasan yang betul," katanya.
 
Awal minggu ini Mesyuarat Biro Politik Pusat PKR memutuskan lantikan politik parti itu di Kelantan dikekalkan sekaligus menamatkan kemelut berkenaan.
 
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan alasan keperluan kerjasama parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana yang telah dinyatakan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob sebelum ini.
 
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata perkara itu diputuskan selepas mesyuarat Biro Politik Pusat PKR mengambil maklum dan diberikan penjelasan mengenai senario politik semasa di negeri ini.
 
Kata Che Abdullah, sekiranya timbulkan keraguan dalam sesuatu perkara jawatan lantikan PKR perlu mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum membawanya dalam ceramah-ceramah politik Pakatan Harapan.
 
"Kemudian kalau ada rasa tidak puas hati ataupun mereka rasa curiga dengan fitnah-fitnah daripada pihak lawan mereka sepatutnya mendapat maklumat daripada sumber yang sah kerajaan negeri sebelum nak naik pentas ceramah hentam kerajaan negeri.
 
"Kerana mereka adalah sebahagian daripada kerajaan negeri," katanya.
 
Ditanya sekiranya ahli PAS di peringkat akar umbi boleh menerima keputusan itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau ini berkata berdasarkan respons yang diterima ahli parti itu di semua peringkat menerima lantikan politik PKR meneruskan khidmat dalam kerajaan negeri.
 
"Respons daripada bawah semuanya pun untuk meneruskan mandat rakyat itu diterima oleh ahli-ahli PAS di bawah.
 
"PAS ini satu sahaja, PAS tak pernah khianat dalam apa sahaja perjanjian atau persetujuan cuma PASlah yang selalu dikhianati," katanya.
 
 

Tiada ulasan: