Wall Street Journal
melaporkan bahawa terdapat duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Amerika
Syarikat, Yousef Al Otaiba dilapor menerima dana bernilai AS$ 66 juta
yang didakwa dialihkan dari 1MDB.
Laporan itu berkata, dua syarikat yang
dikaitkan dengan Yousef yang didakwa menerima sebahagian daripada wang
berjumlah AS$ 50 juta, adalah Densmore Investments Ltd yang berpangkalan
di Kepulauan British Virgin dan Silver Coast Construction & Boring
LLC yang berpangkalan di UAE.
Kedua-dua syarikat itu mula mendapat
perhatian umum semasa perbicaraan di Singapura, apabila bank-bank yang
gagal membendung pengubahan wang haram berkaitan 1MDB didakwa.
Kedua-dua syarikat itu dinamakan semasa
perbicaraan bekas pengurus bank Falcon Private Bank di Singapura, Jens
Fred Sturzenegger.
Sturzenegger kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama 28 minggu manakala lesen Falcon Private Bank di Singapura dibatalkan.
Beliau didakwa gagal menyekat transaksi
mencurigakan, termasuk transaksi AS$ 20 juta kepada Silver Coast
Construction & Boring LLC dan urus niaga bernilai AS$ 30 juta kepada
Densmore Investment Limited.
Kedua-dua transaksi ini berasal dari
akaun Falcon Private Bank di bawah Granton Property Holding Ltd, yang
dikawal oleh Eric Tan Kim Loong, seorang ahli perniagaan kelahiran Pulau
Pinang yang menggunakan nama Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai
Jho Low.
Menurut saman sivil Jabatan Kehakiman
Amerika Syarikat (DOJ), Granton Property Holding merupakan penerima
sebahagian bon bernilai AS $ 3 bilion yang dikeluarkan oleh 1MDB untuk
usahasama dengan Aabar Investments PJS, yang juga dikenali sebagai Abu
Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC) pada bulan Mac 2013.
Wang tersebut telah digunakan antara lain bagi projek Tun Razak Exchange.
Menurut saman sivil pertama DOJ terhadap
1MDB, sebanyak AS$ 1.26 bilion daripada bon berjumlah AS$ 3 bilion
didakwa dialihkan ke Tanore Finance Corporation dan Granton Property
Holding.
Daripada jumlah ini, AS$ 835 juta
dimasukkan ke Tanore Finance Corporation sementara AS$ 430 juta diterima
Granton Property Holding.
Secara kebetulan, Yousef bulan lalu
berdepan penggodam yang membocorkan e-melnya, yang antara lain,
menunjukkan peranannya dalam melobi Qatar dan kerja-kerja sokongan di
Washington.
Menurut WSJ, beberapa e-mel Yousef juga termasuk perihal pertemuan dengan rakan perniagaannya, Shaher Awartani dan Low.
“Otaiba dan Low merupakan kenalan sejak
awal tahun 2000 dan Low menggambarkan mengenai persahabatannya dengan
Otaiba dalam wawancara sejak beberapa tahun ini,” kata laporan itu.
Yousef enggan mengulas tetapi jurucakap kedutaan UAE di Washington mendakwa e-mel itu sebagai “dirancang”, menurut laporan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan