Isnin, 3 Julai 2017

Taktik kotor didedah ‘panglima kenit’ Najib, penyokong DAP diminta bersedia


Roketkini.com

KULAI: Penyokong DAP diminta berjaga-jaga dengan taktik-taktik kotor UMNO menjelang pilihanraya umum ke-14 yang bakal menjelang tiba, termasuk untuk membatalkan pendaftaran parti di samping menghalang penggunaan lambang roket.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang memberi peringatan tersebut ketika berucap di sini sempena ulangtahun ke-35 cawangan Kelapa Sawit, semalam.

Menurut beliau, taktik kotor UMNO itu didedahkan sendiri oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin ketika tergesa-gesa membalas kenyataan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong.

“Kenyataan Sarifuddin adalah isyarat jelas bahawa bukan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang akan bertindak membatalkan pendaftaran DAP, tetapi ‘panglima-panglima kenit’ seperti Sarifuddin yang menasihati Perdana Menteri,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Kit Siang juga berkata, kenyataan si ‘panglima kenit’ ini adalah satu tanda besar bahawa lingkaran dalaman Datuk Seri Najib Razak memang sedang merancang untuk membatalkan pendaftaran DAP serta menghalang penggunaan lambang roket dalam PRU ke-14 akan datang.

“Pimpinan DAP di peringkat cawangan, anggota parti dan para penyokong harus bersedia berhadapan serangan jahat UMNO menjelang PRU ke-14,” tambahnya.

Tengku Sarifuddin, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di tengah-tengah malam bagi membalas bacaan politik Ahli Parlimen Kluang, tempoh hari cuba menangkis serangan terhadap majikannya dengan menimbulkan persoalan tentang masalah antara DAP dan ROS.

Tangkisan itu bagaimana pun, ternyata memakan dirinya apabila didedahkan bahawa ROS sudah pun mengaku kalah di mahkamah pada tahun 2014, dan Setiausaha Akhbar PM itu sebaliknya mendedahkan strategi partinya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: