Oleh Mahdzir Ibrahim
UMNO hari ini adalah versi kleptokrasi. Najib Razak merampas "Umno baru" yang dicipta Dr Mahathir Mohamad ketika krisis kepimpinan Umno pada 1988-1989 dahulu.
Maka itu saya melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini seakan-akan jelmaan kembali Umno 1989 (Umno 89), bukan Umno 46 yang bersifat nasionalis.
Umno 89 mempunyai kelebihan pada masa itu apabila mereka memiliki tokoh penting. Begitu juga dengan Bersatu yang memiliki ketokohan dalam barisan kepimpinan kanannya.
Pemimpin kanan Bersatu yang kebanyakannya berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan terdahulu mencadangkan kepimpinannya dalam Harapan.
Saya ambil cadangan ini sebagai suatu hal yang positif. Namun, saya bermasalah sedikit dengan cadangan ini kerana ia hanya datang dengan tiket untuk menumbangkan Najib, tiada pakej lain.
Amanah, PKR dan DAP masing-masing sudah menjelaskan pakejnya. Selain mahu menjadikan Umno-Barisan Nasional (BN) pembangkang, parti ini sudah siap dengan agenda membangunkan kembali negara, baik dalam aspek keadilan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan malah kebudayaan.
Idea daripada naskhah Buku Jingga sekurang-kurangnya menjadi model asas pakej tersebut. Apapun, ia pastinya perlu disusun kembali sesuai dengan keperluan dan kehendak zaman ini.
Tetapi bagaimana dengan pakej tawaran daripada rakan baru Harapan iaitu Bersatu?
Tawaran menumbangkan Umno Najib dengan mengetuai jentera Harapan, bagi saya tidak memadai. Tiada apa yang baru dengan tawaran ini.
Masih belum dapat dilihat tawaran Bersatu yang lebih menggiurkan buat rakyat, khususnya orang Melayu yang menjadi tunjang dan sasaran parti itu.
Ya, barangkali benar Bersatu mampu tembus ke kawasan yang gagal ditembusi Pakatan Harapan(dulunya Pakatan Rakyat).
Bersatu juga mampu menarik sejumlah besar pendengar untuk datang mendengar ceramahnya.
Tetapi apa tawarannya?
Berkempen dengan hujah untuk menumbangkan Najib tidak akan sama dengan kempen dan hujah untuk membina kembali negara yang sudah rosak ini.
Hujah menumbangkan Najib akan tertumpu mencari kelemahan dan memperlekehkan Najib. Mengkritik Najib ini saya kira satu kerja yang sangat mudah ketika ini.
Bagi PKR, DAP atau Amanah, mengkritik Najib adalah "kacang", skripnya sudah ada.
Apatah lagi hari ini skandal Najib terkenal seantero dunia, hinggakan anak muda yang tidak kenal Umno pun tahu nak "troll" Najib.
Adakah hujah untuk menumbangkan Najib akan menjadi kekuatan penting kepada Bersatu atau Harapan?
Diakui yang para tokoh kanan pimpinan Bersatu mempunyai pengalaman cukup luas dalam kerajaan.
Turut diyakini jika mereka bersama tokoh dalam Harapan, pasti boleh menyusun kembali pentadbiran negara ini.
Tetapi apakah model pentadbiran yang akan diajukan Bersatu? Hingga kini, saya belum dapat melihat model itu. Adakah Bersatu akan mencadangkan model yang sama dengan kerajaan Umno 89?
Berpolitik bukan sahaja mengenai perkara hendak menang, tetapi membina imaginasi untuk mencapai kemenangan.
Jika ia filem, mana naskhah skripnya? Jika ia kereta, mana lukisan teknikalnya? Jika ia perniagaan, mana model perniagaannya?
Di samping itu, saya juga tertanya-tanya dimanakah Deklarasi Rakyat yang dirumus dan dibacakan dahulu? Adakah ia sudah tidak relevan?
Adakah Deklarasi Rakyat itu boleh dicanai oleh Bersata dalam bentuk polisi ekonomi, sosial, kebajikan dan kebudayaan dalam konteks sebuah naskhah untuk membina kembali negara ini?
Dr Mahathir mengatakan, siapa calon perdana menteri tidak penting, yang penting menang dahulu.
Saya faham dan bersetuju, tetapi bagaimana mahu menang jika agenda membangunkan negara itu pun belum Bersatu kemukakan.
Bagi saya, selain hujah menumbangkan Najib, tawaran untuk membina kembali negara yang rosak ini, lebih penting. Ia akan menjadi faktor penarik kepada rakyat untuk yakin dan memangkah Harapan.
Mungkin ada beranggapan, ini soalan remeh atau terlalu idealistik. Malah, bagi sesetengah rakan berasa persoalan mengenai rangka untuk membina kembali negara ini sangat mudah dibuat, boleh siap dalam tempoh satu malam, tak payah fikir sangatlah. Janji boleh jual dan menang dulu.
Agenda reformasi adalah agenda mengembalikan negara ini kepada rakyatnya. Ini agenda nasional untuk nasionalis.
Nasionalis adalah mereka yang sayangkan negara, yang menumpahkan kesetiaan hati dan keringat buat negara ini. Tidak kira sama ada ahli parti Melayu, India, Cina, Sarawak atau Sabah, parti jalan tengah, Islam progresif dan golongan reformis, yang tidak termasuk dalam agenda ini hanya mereka yang wala’ makan dedak sahaja.
Apakah kita tidak ada ghairah untuk membina Negara Bangsa?
* Mahdzir Ibrahim adalah pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan