Jumaat, 7 Julai 2017

Tak sabar tuai hasil tanaman



Tak sabar tuai hasil tanaman
Para peserta projek tanaman limau berkelompok di Kampung Peneh teruja dan tidak sabar menunggu untuk memetik hasil pertama pengeluaran dijangka sepenuhnya Disember ini.
 

KAMPUNG PENEH - Peserta Projek Tanaman Limau Madu Berkelompok Kampung Peneh, di sini kini menghitung hari menunggu ketibaan Disember bagi membolehkan mereka memetik hasil pertama tanaman yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan, projek dijalankan atas tanah sawah terbiar itu melibatkan 10 peserta diketuai Ahmad Ali, 74, dengan keluasan sekitar empat hektar.

Tanaman melibatkan 1,400 pokok itu dijangka mampu mengeluarkan hasil sekitar 1.4 tan sekiranya tiada sebarang masalah seperti ancaman musuh tanaman.

Berkongsi cerita, Ahmad berkata, projek tersebut bukan sekadar mampu meningkatkan pendapatan peserta tetapi cukup bermakna bagi komuniti setempat kerana ia seolah-olah mengembalikan ‘kegemilangan’ tanaman limau di kampung berkenaan yang pernah memenangi tempat ketiga peringkat kebangsaan bagi Anugerah Kebun Terbaik anjuran Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

“Kawasan projek tanaman limau madu ini sebenarnya tanah hak milik yang dulunya diusahakan penanaman padi secara berkelompok.

"Tapi bila tak ada lagi projek tanaman padi, tanah ini terbiar lebih kurang 20 tahun sebelum dimajukan kembali tiga tahun lalu," katanya.

Menurutnya, tanaman limau dipilih memandangkan buah itu pernah memenuhi landskap kampung berkenaan suatu masa dahulu melalui projek tanaman seluas kira-kira 35 hektar.

"Ketika itu kami tanam limau langkap. Tapi bila kena serangan penyakit kulat penduduk telah bertukar kepada tanaman getah serta sawit sehinggalah sekarang.

“Bagaimanapun, tiga tahun lalu timbul idea untuk kembali tanam limau tetapi kali ini limau madu. Hasil pertama dijangka dapat dikutip sepenuhnya awal Disember ini dan pastinya ia menjadi saat ditunggu-tunggu terutamanya peserta yang memerah keringat sejak awal projek kelompok ini diusahakan,” katanya.

Tambah Ahmad yang juga bekas pengerusi JKKK Peneh, selepas ini pokok limau madu berkenaan dapat dikutip hasilnya dua kali setahun dan bagi setiap pokok ia dijangka mampu menghasilkan buah sehingga 100 kilogram bagi setiap pusingan.

Limau madu RM5 sekilogram

 

Bagi seorang peserta, Harun Kamurdin Jambol, 65, walaupun telah mempunyai pengalaman dalam bidang tanaman berkenaan namun dia tetap teruja untuk memetik hasilnya apatah lagi kini dalam hampir 100 pokok ditanamnya mengeluarkan buah dan beberapa orang peraih turut datang menyatakan keinginan mereka untuk membeli limau madu berkenaan.

“Tengok buah dah rasa teruja, berbeza dengan limau langkap diusahakan dulu yang masak secara serentak, limau madu tidak begitu.

"Biarpun tempoh kutip hasil dijangka sepenuhnya lima bulan lagi, sudah ada peraih datang termasuk dari Kerteh," katanya.

Menurutnya, harga jualan limau madu itu dijangka sekitar RM5 sekilogram.

"Apabila hasil dapat dijual kelak, ia pastinya membantu meningkatkan pendapatan pak cik dan semua kejayaan projek berkelompok ini banyak dibantu Pejabat Pertanian Daerah Hulu Terengganu yang sering memberi nasihat, tunjuk ajar serta pemantauan berterusan,” ujarnya.

Kata datuk lima cucu ini lagi, di sebalik keterujaan menunggu hasil pertama dapat dikutip nanti dia juga sedikit terkilan kerana ada individu nakal telah melakukan kecurian buah limau biarpun belum masak sepenuhnya selain turut menjadi sasaran haiwan perosak iaitu kera.

Rancang besarkan kawasan tanaman

 

Bagi Mekngah Mahmod, 57, yang juga ibu kepada tiga cahaya mata, projek berkelompok limau kali kedua dilaksanakan itu diharapkan mampu kembalikan identiti kampung berkenaan yang dahulunya cukup dikenali sebagai tanaman buah tersebut apatah lagi rata-rata penduduk mengusahakannya dahulu.

“Walaupun majoriti peserta yang ada kini sudah berusia, namun ada dalam kalangan golongan muda berminat mengusahakannya dan saya difahamkan berdasarkan perancangan ada hasrat untuk memperluaskan projek tanaman limau madu berkelompok ini sekurang-kurangnya empat hektar lagi selepas ini.

“Sekurang-kurangnya mereka ini nanti akan meneruskan projek tanaman limau madu di kampung ini. Saya begitu teruja dan tidak sabar untuk menuai hasil tanaman, harap-harap pengeluaran buahnya nanti dapat capai jumlah sebagaimana disasarkan,” katanya.

Tiada ulasan: