Oleh Zeanaaima Md Yusof & Athirah Hanapiah
KOTA BAHRU: Umat Islam seluruh negara diseru untuk menghadiri Himpunan
Pertahankan Islam di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Exco Kelantan, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata umat Islam perlu
datang beramai-ramai untuk menyatakan sokongan kepada usaha
mempertahankan agama Islam yang mutakhir ini diserang daripada pelbagai
sudut.
"Himpunan ini untuk menyatakan sokongan kepada umat Islam untuk melawan
ancaman terhadap agama Islam di seluruh Rantau Asia, khususnya di
Malaysia.
"Di Malaysia, umat Islam juga terima ancaman daripada segenap segi.
Mutakhir ini, orang Islam dihalang daripada melaksanakan tuntutan
agamanya sendiri," ujarnya kepada Antarapos.
Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini menjadi sasaran kritikan pihak
tertentu selepas DUNnya meluluskan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah
Syariah II yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan
secara terbuka.
Pindaan itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguatkuasa agama
untuk menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan penggunaan
video sebagai bahan bukti semasa perbicaraan.
Cadangan pindaan undang-undang itu telah diusulkan oleh Exco
Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk
Mohd Nassuruddin Daud yang kemudiannya disokong sebulat suara oleh ahli
DUN.
Umat Islam juga cuba dihalang daripada melaksanakan perundangan Islam
diperingkat nasional, dengan mengganggu usaha memperkasakan bidang kuasa
Mahkamah Syariah.
Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata tindakan pihak tidak
bertanggungjawab yang dengan sengaja mencabar Islam perlu dihentikan
dengan cara umat Islam harus bersatu dan menolak segala provokasi yang
dilakukan.
"Israel halang rakyat Palestin bersolat di Masjid Al-Aqsa. Orang Islam
di negara ini pula dihalang daripada melaksanakan perundangan Islam.
Sementara pemikir Islam dan golongan ulama kita diserang, dihina.
"Kita diancam dari banyak segi terbaru isu makanan iaitu campuran
daging babi dan kambing yang pada saya dibuat secara sengaja. Walhal
mereka tahu Islam mengharamkan babi.
"Mereka sengaja mencabar umat Islam. Ada juga yang dengan sengaja
anjurkan program sentuh anjing. Umat Islam mesti bersatu hati
pertahankan Islam," ujar tegas.
Justeru, Che Abdullah menyeru semua umat Islam hadir ke Stadium SUltan
Muhammad IV untuk menyokong serta menyatakan bantahan kepada usaha
memburukkan nama Islam.
"Kita yakin, penyertaan umat Islam malam ini ramai dan InsyaAllah akan melimpah-ruah ke luar stadium," katanya lagi.
Kelantan selama tiga hari dipilih menjadi tuan rumah untuk menganjurkan Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan