Sabtu, 22 Julai 2017

Puad tawar diri ganti Najib berdepan Mahathir

MALAYSIAKINI



Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi menawarkan diri menggantikan presidennya Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Puad berkata beliau sedia berdepan bekas perdana menteri keempat itu jika Mahathir serius untuk “mencari kebenaran” dalam isu 1MDB.

“Saya menawarkan diri untuk berdebat dengan beliau dalam Nothing to Hide 2.0 yang mereka nak anjurkan,” katanya yang juga ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Jadi tak perlulah dia mencabar Datuk Seri Najib untuk berdebat dalam forum Nothing to hide 2.0 mengenai isu 1MDB ini.”

Berdasarkan video yang dimuat naik sebuah portal, Puad percaya beliau setanding dengan Mahathir yang dilantik sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

Dakwanya, jawatan Mahathir sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa.

“Oleh itu tidak ada sebab untuk (dia) tidak debat dengan saya sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno,” katanya.

Mengulas lanjut, Puad bagaimanapun berkata Mahathir sebenarnya tidak serius untuk “berdebat secara ilmiah, secara bersopan” dan didakwa hanya mahu memalukan Najib.

“Mereka datang nak buat kecoh seperti Datuk Seri Najib dimalukan di khalayak ramai.

“Ini terbukti dalam townhall (dialog terbuka) 1.0 di PWTC, walaupun beliau tak dijemput,” katanya.
Mahathir dalam acara Nothing to Hide yang pertama membuat kejutan dengan benar-benar hadir dalam acara dialog perdana menteri dan NGO itu.

Beliau malah berucap dalam acara itu mengkritik Najib, tetapi kemudian diberhentikan dan diiring untuk beredar oleh pihak polis.

Najib tidak hadir atas alasan keselamatan, menurut pasukan keselamatan.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: