Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: PAS Pulau Pinang tidak menolak untuk bertanding di Parlimen
Permatang Pauh, kerusi yang sebelum ini ditandingi bekas sekutunya PKR,
pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Pesuruhjayanya Mohd Fauzi Yusof berkata pihaknya sentiasa dalam keadaan
bersedia dan hanya menanti lampu hijau daripada PAS Pusat dan Majlis
Syura Ulama parti.
"Kita bersedia, maknanya apabila kita melancarkan jentera, kita bersiap
sedia, cuma tunggu lampu hijau. Kalau dapat lampu hijau, restu daripada
(PAS) Pusat, kita bertanding.
"Kalau Pusat tak restu, mungkin ada perkiraannya, kita terpaksa wala' dan akur," katanya kepada Antarapos.
PAS pada Ahad lalu melancarkan jentera pilihan rayanya di kawasan Permatang Pauh, kerusi yang sinonim dengan PKR.
Bagaimanapun, tidak ada pengumuman rasmi PAS sama ada parti itu akan
bertanding merebut kerusi Parlimen itu atau tiga lagi kerusi DUN di
dalam parlimen berkenaan.
Naib Presidennya Dr Idris Ahmad yang melancarkan jentera itu berkata,
PAS sedang bersedia sementara menanti jawatankuasa kepimpinan negeri
menghantar laporan mereka untuk penilaian pemimpin pusat sebelum
keputusan akhir dibuat.
Bukan kerusi Permatang Pauh sahaja
Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata PAS bukan saja bersedia untuk
bertanding di Parlimen Permatang, bahkan bersedia untuk bertanding di
tiga DUN di bawah parlimen itu.
Malah katanya, PAS Pulau Pinang mempunyai ramai calon yang berkelayakan untuk bertanding di kerusi-kerusi berkenaan.
"Calon berlambak (ramai), calon ini kita ada di semua peringkat, Dewan
Muslimat, Dewan Pemuda. Calon memang tiada masalah," katanya lagi.
Mohd Fauzi juga berkata, PAS sememangnya 'tidak asing' kepada rakyat di
kawasan berkenaan memandangkan kerusi Permatang Pauh sebelum ini milik
mereka.
"Kita mendapat beberapa petunjuk dan isyarat daripada rakyat khususnya
di kawasan Permatang pauh memang senang kalau PAS bertanding di kawasan
ini," katanya.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh kini disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
PKR juga memegang dua kerusi DUN di parlimen berkenaan iaitu Penanti
dan Seberang Jaya, manakala PAS memegang Permatang Pasir, kerusi tunggal
milik mereka di negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) itu.
Untuk rekod, kerusi Permatang Pauh sebelum ini ditandingi PAS, tetapi
selepas bekerjasama dengan PKR, kerusi itu diserahkan Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan