KUALA TERENGGANU: Urusan pengeluaran MyKid akan disiapkan dalam tempoh
sehari di 17 Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara mulai
Ogos ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk
Mohd Zahari Hassan, berkata ketika ini pihaknya sedang melengkapkan 17
UTC di seluruh negara dengan mesin percetakan MyKid.
Beliau berkata, ia sekali gus akan memendekkan masa pengeluaran dokumen
pengenalan diri kanak-kanak itu yang sebelum ini mengambil masa 30
hari.
"Bagaimanapun, di UTC Terengganu proses pengeluaran MyKid yang siap dalam tempoh 24 jam ini akan bermula pada 19 Julai ini.
"Kita menjangka semua 16 UTC lagi di seluruh negara akan dilengkapkan
dengan mesin percetakan MyKid ini selewat-lewatnya akhir bulan ini,"
katanya pada sidang media selepas merasmikan Hab Percetakan Teragih Hab
DPP di sini.
Selain MyKid, Mohd Zahari berkata, sistem pengeluaran MyKad turut
ditambah baik menerusi penyediaan mesin pencetak MyKad yang bernilai
RM300,000 setiap seunit.
"Kita menyediakan dua unit mesin ini di 36 dari 55 pejabat JPN di
seluruh negara yang dijadikan Hab Percetakan Teragih MyKad (DPP). Dengan
sistem ini, tempoh siap MyKad dapat dipendekkan kepada 24 jam sahaja
berbanding antara lima hingga 30 hari bekerja sebelum ini.
"Di Terengganu, hab untuk Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang
adalah di UTC; Besut menjadi subhab untuk Besut dan Setiu manakala
Dungun untuk kawasan Dungun, Kertih dan Kemaman," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPN sedang mengkaji untuk
memendekkan tempoh sah laku dokumen pengenalan diri sementara kepada
sebulan berbanding tiga bulan ketika ini, bagi mengatasi masalah
kelewatan tuntutan MyKad sehingga ada yang tidak dituntut selama dua
tahun.
Sebelum ini media melaporkan sebanyak 159,000 MyKad masih belum
dituntut di pejabat JPN di seluruh negara kerana sikap pemohon yang
sambil lewa serta tidak mengambil berat berkaitan dokumen pengenalan
diri masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan