MALAYSIA DATELINE
Negara memerlukan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) yang efektif dan substantif bukannya seorang selebriti,
bidas Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Saifuddin
Nasution Ismail.
Beliau menyifatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk
Dzulkifli Ahmad sebagai ketinggalan zaman apabila memperkenalkan Ikrar
Bebas Rasuah (IBR).
"Adakah beliau sedar rasuah hanyalah satu hasil daripada banyak
masalah integriti dan tadbir urus yang lebih luas dan perlu difahami?
"Ketua
Pesuruhjaya SPRM yang nampak gayanya seperti ahli politik atau
selebriti yang tidak lebih hanya untuk mendapat perhatian daripada pihak
media sahaja.
"Kita tidak berminat dengan hanya 'public relation exercise'. Ikrar tanpa pengisiannya tidak ada maknanya.
"Lebih teruk lagi apabila ikrar itu mengecilkan skop kepada isu yang ingin ditangani," tegasnya.
Menurutnya, ikrar tersebut menunjukkan kedangkalan fikiran dan
kurangnya kreativiti Ketua Pesuruhjaya SPRM itu walhal SPRM sebelum ini
mempunyai langkah pencegahan rasuah yang lebih sofistikated.
Institut Integriti Malaysia (IIM), jelasnya, sebagai contoh dilihat
mempunyai inisiatif dan instrumen yang jauh lebih berkesan dalam konteks
pemupukan dan pembudayaan integriti berbanding Ketua Pesuruhjaya SPRM.
"Jikalau sekalipun Ketua Pesuruhjaya SPRM benar-benar serius hendak
berikrar, mengapa menghentikan usaha Ikrar Integriti Korporat yang
diperkenal Datuk Paul Low serta dilaksanakan Tan Sri Abu Kassim dan
Datuk Sri Mustafar Ali dahulu?
"Ikrar Integriti Korporat dilihat lebih menyeluruh. Dengan 'follow
up' pengisian kepada ikrar di mana agensi, badan yang membuat ikrar
harus turut serta melaksanakan beberapa program seperti 'whistle
blowing' dan lain-lain.
"Kenapa 'Ikrar Integriti Korporat' ini dihentikan? Adakah kerana
Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu ini ingin menunjukkan bahawa KP dan
TKP sebelum ini tidak tahu apa yang mereka lakukan?" bidasnya dalam satu
kenyataan.
Mengulas pelancaran revolusi Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH)
oleh SPRM pada 8 Mei lalu, Saifuddin mempersoal sejauhmana lawatan dan
bermesra dengan rakyat sambil memberi bantuan makanan dan berikrar
sahaja akan menyelesaikan masalah rasuah.
"Apa makna bebas rasuah jikalau isu-isu salah guna kuasa dan masalah
yang wujud dalam laporan audit terus berleluasa? Adakah dengan menangkap
pesalah rasuah setiap minggu akan menyelesaikan masalah?
"Sejak Ogos tahun 2016 sehingga kini, berapa ramai individu yang
telah ditangkap telah didakwa dan disabit kesalahannya?" soalnya.
Menyentuh kenyataan Dzulkifli yang kesal dengan keengganan kerajaan
Pulau Pinang menandatangani IBR bagi menunjukkan komitmen negeri itu
memerangi serta membanteras gejala rasuah, beliau mempertikaikan bukti
empirikal bahawa isu rasuah dapat diselesaikan dengan berikrar.
"Negara mana dalam dunia ini yang mampu membanteras rasuah dengan
hanya berikrar? Tunjukkan kepada kita bukti-bukti dan dalil-dalil serta
kitab mana yang beliau rujuk dan kita boleh pertimbangkan.
"Adakah kerana KP dan TKP sebelum ini lebih berani dan sanggup
menyiasat kesalahan MO1 (Malaysian Official 1) menyebabkan semua
inisiatif mereka perlu ditukarkan? Hanya semata-mata untuk menghentikan
usaha mereka sebelum ini?
"Kita melihat drama dan sandiwara Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu
ini sebagai usaha mengalih pandangan daripada melihat 'the elephant in
the room' kepada perkara-perkara runcit sambil menaikkan nama beliau di
media.
"Adakah beliau sedang menonjolkan diri sebagai calon Peguam Negara
(AG) yang mampu mempertahan dan melindungi MO1?" tempelak Saifuddin.
Menurutnya, kenaikan pangkat Dzulkifli bermula pada kedudukan Jusa C
ketika dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Ogos tahun lalu dan
kini Turus 2 dalam tempoh setahun dianggap cukup luar biasa yang hanya
layak untuk seorang penjawat awam yang luar biasa prestasinya.
"Soalnya apa yang luar biasa itu kalau sekadar bercakap soal ikrar bebas rasuah! Tindak tanduk dan cara beliau ini meragukan.
"Galak menyerang kerajaan Pulau Pinang hanya kerana belum
menandatangani suatu ikrar. Ikrar bebas rasuah yang beliau perkenalkan
ini adalah satu inisiatif secara sukarela bukan secara paksaan.
"Jadi apa maksud Pulau Pinang ingkar? Ingkar kepada perintah siapa?" soal Saifuddin lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan