Khamis, 6 Julai 2017

Lim Kit Siang Naif Psikik Pengundi Melayu Islam -Dr Kamarul


Dr Kamarul Zaman Yusoff,



Sukar difahami mengapa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang yang telah begitu lama berkecimpung di dalam politik Malaysia seolah-olah terlalu naïf di dalam memahami psikik majoriti pengundi Melayu Islam, khususnya yang berada di kawasan luar bandar.

Menjelang berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 yang cukup bersejarah di Kuala Selangor pada 2-6 Jun 2015, saya telah memberikan beberapa komentar mengenai campur tangan pemimpin DAP di dalam urusan pemilihan pucuk pimpinan PAS ini.

Pada 30 Mei 2015, saya di antara lainnya menyebut di dalam akhbar Berita Harian betapa sokongan DAP terhadap pemimpin PAS yang mahu menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan memakan diri pemimpin PAS yang disokong oleh DAP.

Nasihat saya kepada pemimpin PAS tersebut ialah, “jika mahu selamat, mereka perlu segera menjarakkan diri daripada DAP dan menyerang parti itu kembali” kerana “tidak pernah berlaku dalam sejarah PAS pihak luar berjaya mencatur keputusan pemilihan parti itu”.

Kata saya lagi, jangkaan kekalahan teruk pemimpin PAS tersebut berlaku antara lainnya kerana “kritikan keterlaluan melampaui batas kesopanan oleh pemimpin DAP terhadap Presiden PAS, termasuk gelaran diktator, hilang akal, durjana dan berjiwa UMNO”.

Pada 31 Mei 2015 pula, saya di antara lainnya menyebut di dalam akhbar Berita Harian betapa sokongan DAP terhadap pemimpin PAS yang mahu menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ini adalah seumpama “sokongan membawa rebah”.

Kata saya lagi, pertembungan di dalam PAS waktu itu melibatkan dua team yang berbeza tahap kesetiaan mereka, dengan satu team dilihat lebih mengutamakan perjuangan PAS manakala satu team lagi dilihat lebih mengutamakan perjuangan Pakatan Rakyat.

Saya juga menyebut mengenai kemungkinan muktamar itu akan menjadi medan pembersihan PAS dan golongan yang menjadi mangsa pembersihan ini akan keluar dari PAS untuk membentuk sebuah parti baru yang lebih menepati selera sekular DAP dan PR.

Telahan ini akhirnya benar-benar berlaku, dengan izin Allah, menyebabkan golongan yang menjadi mangsa pembersihan ini keluar dari PAS untuk mulanya membentuk Gerakan Harapan Baru (GHB) dan kemudiannya membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH).

Perkara yang kelihatan hampir sama dengan pemilihan pucuk pimpinan PAS di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 seolah-olah akan berulang sekarang bila Lim Kit Siang menobatkan Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan pada 29 Jun lalu.

Memahami psikik majoriti pengundi Melayu Islam, khususnya yang berada di kawasan luar bandar, terdapat kemungkinan besar sokongan DAP terhadap Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan ini akan sekali lagi menjadi “sokongan membawa rebah”.

* Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tiada ulasan: