Khamis, 6 Julai 2017

Kit Siang Sudah Bercita-cita Jadi Perdana Menteri Sejak PRU 1978




Sumber dalaman DAP menyebut usaha menabalkan Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri Malaysia sudah bermula sejak Pilihan Raya Umum kelima pada 1978.

Dalam satu senarai kabinet bayangan yang disebar kepada media pada 3 Februari 1979 (di atas) menyenaraikan 13 daripada 16 Ahli Parlimen DAP memegang portfolio masing-masing.

Namun, nama Kit Siang, Ahli Parlimen Petaling yang ketika itu berjawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dan Setiausaha Agung DAP serta nama Dr Chen Man Hin (Seremban), ketika itu berjawatan Pengerusi DAP sengaja disembunyikan.

“Senarai yang didapati oleh (akhbar) Watan dari ibu pejabat DAP di sini tidak mencatatkan siapakah Perdana Menteri dalam kabinet bayangan itu.

“Adalah dipercayai jawatan (PM) itu dipegang oleh Encik Lim Kit Siang sendiri yang juga menjadi Ketua Pembangkang sekarang,”kenyataan dari akhbar Watan dipetik.

Ibu pejabat DAP mengeluarkan senarai kabinet bayangan itu kira-kira tujuh bulan selepas PRU 1978 yang menyaksikan peningkatan mendadak DAP iaitu 16 Ahli Parlimen, berbanding dengan 9 Ahli Parlimen pada PRU 1974.

Pada PRU 1974, DAP berjaya menembusi kawasan bandar di Pulau Pinang (4 kerusi), Perak (4 kerusi), Selangor (1 kerusi), Wilayah Persekutuan (3 kerusi), Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah, masing-masing 1 kerusi.

Ketika itu, DAP telah berjaya memenangi 7 kerusi baharu daripada 16 kerusi parlimen tersebut.

Ahli Parlimen DAP ketika itu adalah Lim Cho Hock (Ipoh), P.Patto (Menglembu), Chian Heng Kai (Batu Gajah), Ting Chek Ming (Bruas), Lim Kit Siang (Petaling), Lee Lam Thye (Kuala Lumpur), V. David (Damansara), Chan Kok Kit (Sungai Besi), Chen Man Hin (Seremban), Chan Teck Chan (Kota Melaka), Lee Kaw (Kluang), Fung Ket Wing (Sandakan), Seow Hun Khim (Bukit Mertajam), Peter Paul Dason (Bukit Bendera), Wong Hoong Keat (Tanjong) dan Karpal Singh (Jelutong).

Chian Heng Kai dan Chan Kok Kit masing-masing menang di Batu Gajah dan Sungai Besi tanpa perlu hadir ke pusat penamaan calon kerana mereka berdua ketika itu telah ditahan di bawah ISA kerana didakwa terlibat dalam Communist United Front (CUF).

CUF merupakan istilah ciptaan Komunis yang merujuk penukaran strategi daripada bentuk perjuangan bersenjata kepada perjuangan ideologi tanpa senjata dengan penyusupan ke dalam organisasi berdaftar seperti parti politik, kesatuan sekerja, organisasi budaya dan pelajar.

Ketika ditahan ISA pada awal November 1976, Kok Kit merupakan Penolong Bendahari DAP Kebangsaan, manakala Heng Kai pula Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan dan dibebaskan pada Julai 1981.

Berbeza dengan keputusan PRU 1974, DAP hanya menembusi sembilan kerusi kawasan bandar di Perak (4 kerusi), Selangor (1 kerusi), Wilayah Persekutuan (2 kerusi), Negeri Sembilan (1 kerusi) dan Melaka (1 Kerusi)

Mereka adalah Ngan Siong Hin (Kinta), Lim Cho Hock (Ipoh), Fan Yew Teng (Menglembu), Chian Heng Kai (Batu Gajah), Oh Keng Seng (Petaling), Lee Lam Thye (Kuala Lumpur), Farn Seong Than (Sungai Besi), Chen Man Hin (Seremban) dan Lim Kit Siang (Kota Melaka).

Difahamkan, DAP mengeluarkan kabinet bayangan selepas PRU 1978 sebagai meraikan kebangkitan semula Ahli Parlimen DAP di Dewan Rakyat selepas mengalami zaman sukar selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Tanda-tanda kebangkitan DAP sudah bermula kira-kira tiga tahun sebelum itu apabila Kit Siang berjaya merampas jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat pada November 1975.

Sebelum ini, jawatan Ketua Pembangkang disandang oleh Ahli Parlimen SNAP Miri-Lubis, James Wong Kim Min.

Namun, Kit Siang berjaya merampas jawatan itu apabila James Wong telah ditahan ISA diganti oleh Ahli Parlimen SNAP Saratok, Edmund Langgu Saga yang hanya sempat memegang jawatan itu selama setahun.

Bermula dari itu, Kit Siang telah berjaya memegang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen selama 24 tahun, dari 1975 hingga 1999.

Daripada 16 Ahli Parlimen DAP yang pernah menang pada PRU 1978, hanya Kit Siang seorang sahaja yang masih bertahan sebagai Ahli Parlimen.



Chen Man Hin (bertanda bulat), penasihat seumur hidup DAP
Misalnya, Lee Lam Thye telah mengumumkan keluar parti pada 1990 dan Chen Man Hin mengambil keputusan bersara daripada bertanding PRU apabila tewas dalam PRU 1999.

Namun, majoriti aktivis DAP yang pernah bertanding pada PRU 1978 kini telah meninggal dunia.

Tiada ulasan: