Kumpulan tersebut turut memberi amaran kepada Thinalan supaya tidak masuk campur dalam hal peneroka Gatco
KUALA LUMPUR: Kereta Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan R Thinalan dipecahkan dan disimbah petrol oleh beberapa orang tidak dikenali malam semalam.
Menurut A Subash Chandrabose, Ketua Penerangan Pemuda MIC Selangor, ketika kejadian pada malam lebih kurang 9.30pm Thinalan menikmati makan malam bersama Exco Negeri Sembilan L Manickam di sebuah restoran yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari balai polis Bahau, Negeri Sembilan.
“Ketika kejadian, beliau makan bersama Yb Manickam, tiba-tiba ada segelintir orang memecahkan cermin depan kereta jenis Toyota Harrier sebelum cuba membuang molotov petrol ke dalam kereta.”
“Saya percaya mereka cuba membakar keretanya. Nasib baik, Thinalan sempat melihat kejadian tersebut dan menjerit terhadapnya sebelum kumpulan tersebut melarikan dirinya dari situ,” kata Subash kepada Berita Daily.
“Lebih mengejutkan, kumpulan tersebut turut memberi amaran kepada Thinalan supaya tidak masuk campur dalam hal peneroka Gatco,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Thinalan yang juga seorang peguam, bergegas ke balai polis Bahau dalam usaha membantu 28 peneroka Gatco ditahan oleh polis yang didakwa menghalang sebuah pemaju daripada memusnahkan beribu-ribu ekar tanaman pokok getah.
Mahkamah hari ini membebaskan kesemua 28 peneroka termasuk 10 wanita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan