Isnin, 3 Julai 2017

Jangan hina tetamu Rumah Terbuka Kerajaan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

Raya3


SHAH ALAM: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad membidas segelintir pihak yang menyifatkan tetamu Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri Peringkat Negeri Selangor sebagai kebulur dan tidak cukup makan.

Katanya, semua pihak perlu berpijak di bumi nyata serta menyelami kesusuahan segelintir keluarga yang tidak mampu menyediakan juadah terbaik, di pagi Syawal.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya jika ada yang menghina mereka yang datang beramai-ramai ke Majlis Hari Raya Kerajaan Negeri semalam sebagai tak cukup makan, kebulur atau peminta sedekah.

“Kalau kamu biasa dengan makanan yang sedap-sedap tidak perlulah menghina orang lain. Ramai rakyat marhaen yg tidak mampu menyediakan makanan istimewa untuk keluarga mereka, pada hari raya ini.

Raya

“Ada yang datang berjumpa dengan YB (ADN) meminta sumbangan untuk membeli daging. Hendak membeli kuih raya pun berkira. Baju baru jauh sekali,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penganjuran rumah terbuka itu sekurang-kurangnya menggembirakan rakyat marhaen supaya dapat menikmati juadah sempena Aidilfitri.

Rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri di Padang Perbandaran Majlis Perbadnaran Ampang Jaya (MPAJ) itu diserikan dengan kehadiran lebih 50,000 tetamu yang mula tiba, sejak jam 8 pagi.

Terdapat 47 gerai makanan yang menghidangkan pelbagai jenis juadah selain diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Tiada ulasan: