PUTRAJAYA: Hasil siasatan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di
Kampung Yak Yah, Chukai, Terengganu pada 15 Jun lalu yang mengorbankan
dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dimaklumkan
Panglima Tentera Udara (PTU).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein percaya siasatan
dijalankan dengan baik bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai
perkara itu.
"Yang itu (hasil siasatan) kena tanya pada pihak yang terbabit, boleh tanya pada PTU (Jeneral Datuk Seri Affendi Buang).
"Saya bukan individu yang patut memaklumkannya buat masa sekarang,"
katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri
bersama warga Jabatan Perdana Menteri bertemakan 'Aidilfitri@Negaraku di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil siasatan dan perkembangan terkini insiden berkenaan.
Dalam kejadian berkenaan, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar
Mohd. Hasri Zahari, 31, terkorban apabila pesawat dinaiki mereka
terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, beliau akan berada di
Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi Isnin depan untuk
bertemu dengan pemimpin di negara itu bagi membincangkan mengenai
ancaman kumpulan militan Daesh.
"Selain itu, kita juga melihat situasi krisis antara beberapa negara
Teluk sama ada kita boleh membantu mereka atau sebaliknya, saya akan
bertemu dengan semua pemimpin di sana," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan