Sabtu, 8 Julai 2017

Berpantang…..seribu satu kemungkinan


Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim
Gambar Dr Baiyah bersama keluarga

Hari ini sedih dengan berita seorang wanita ditemui meninggal dunia ketika sendirian bersama anak kecil berusia 48 hari dan dua tahun.

Al fatihah buat arwah dan semoga Allah memberi kekuatan buat ahli keluarganya.

Fasa berpantang sememangnya fasa yang tidak boleh di ambil ringan. Saya sendiri menyangkakan berpantang anak ke empat jauh lebih mudah berbanding anak-anak sebelumnya. Pasti pengalaman tiga anak sebelum ini akan menjadikannya paling mudah.

Namun realitinya, pengalaman berpantang antara satu anak dengan anak yang lain tidak akan pernah sama. Seperti proses kehamilan dan kelahiran. Setiap anak ada kisahnya tersendiri.

Berjaya berpantang tanpa masalah semasa anak pertama tidak bermakna tiada masalah juga untuk anak kedua. Jangan dilupa, kini selain bayi yang baru lahir, ada seorang lagi anak kecil yang turut perlu diberi perhatian dan memerlukan tenaga kita untuk menguruskannya.

Untuk kelahiran kali ini, kali pertama berpantang dalam bulan Ramadhan dan tidak berpantang di rumah ibu. Hakikatnya, fasa berpantang turut perlu dirancang dan diberi perhatian oleh pasangan suami isteri untuk mengurangkan risiko perkara- perkara yang tidak diingini.

1. Sepanjang kehamilan, ceritakan kepada anak2 yg lain proses pembesaran bayi dalam kandungan, proses kelahiran, dan bagaimana mereka juga melalui proses yg sama. (buku Medic banyak membantu). Ini akan membuatkan abang dan kakak teruja untuk menemui adik baru yang banyak persamaan dengan mereka. Penerimaan yang baik abang dan kakak akan kelahiran adik baru banyak memudahkan fasa berpantang.

2. Rancang fasa berpantang dengan suami dan keluarga terdekat dari awal. Untuk anak ke empat, saya memilih untuk berpantang di rumah sendiri, dengan ditemani Ibu dari hari pertama keluar hospital sehingga dua minggu. Ini kerana anak-anak yang lain boleh kekal dihantar ke nursery. Jika berpantang di kampung Ibu saya perlu menjaga empat orang cucu sekaligus, di samping anaknya yang sedang berpantang. Melihat usia ibu yang sudah lanjut, saya merasakan pilihan ini lebih mudah untuknya.

3. Setelah dua minggu, Ibu saya perlu kembali ke kampung. Saya memilih untuk berpantang sendirian di rumah setelah yakin saya sudah sihat secara fizikal kerana proses kelahiran yang agak mudah (lahir normal tanpa jahitan), dan sistem sokongan yang mantap (suami bekerja office hour, anak-anak lain dihantar nursery, kawan-kawan tidak putus ziarah dan ada yang sudi menghantar makanan dan suami tidak kekok ke dapur dan mengurus anak-anak).

4. Walaupun begitu, berpantang sendirian sememangnya agak berisiko kepada kesihatan emosi dan mental si ibu. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Setelah seharian berseorangan, malamnya turut berseorangan kerana suami dan anak2 solat terawih. Hampir seminggu rutin yang sama, saya mula break down..tetiba menangis tanpa sebab, rupa-rupanya rutin tersebut membuatkan saya rasa sunyi, dan emosi dan fikiran negatif mula menguasai diri. Tidak dinafikan gangguan emosi ini dipengaruhi oleh perubahan hormon selepas bersalin. Suami segera mengesan kesihatan emosi yg tidak baik, maka dia mengambil cuti untuk menemani saya sehingga saya pulih, dan selepas itu, sekembali dari kerja dan terawih, suami sentiasa meluang masa untuk mendengar laporan, , cerita-cerita dan keluhan2 saya seharian dengan baby. Realitinya bukan sekadar kesihatan fizikal yang perlu diberi perhatian, perlu peka juga kepada tahap kesihatan emosi dan mental ibu yang berpantang. Perlu tahu tanda awal post partum depression dan mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku.

5. Ibu berpantang turut perlu bersedia dari aspek rohani, terutama untuk memanfaatkan bulan Ramadhan. Contohnya dengan membeli radio al quran sebelum bersalin, dan kerap memasang radio tersebut dalam fasa berpantang. Zikir mathurat pagi dan petang diamalkan. Membaca buku-buku ilmiah dan memberi motivasi dijadikan kpi. Dan menceritakan apa yang dibaca sama ada melalui penulisan Facebook, atau berkongsi dengan orang terdekat.

6. Perlu bersedia dengan alat-alat pemeriksaan asas seperti set tekanan darah mahupun glucometer (mesin mengukur paras gula dalam darah) dan suami isteri perlu tahu tindakan yg perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan. Di dalam bulan Ramadhan terutamanya, walaupun dikecualikan berpuasa, tetapi kerana hanya dia seorang yang perlu makan, ibu berpantang mungkin cenderung untuk skip makan, atau tidak selera makan, atau makan sedikit. Dan ini menyebabkan risiko kurang gula atau air dalam badan yg boleh menyebabkan pitam/pengsan. Hal ini berlaku pada saya pada hari ke 20 ketika berpantang. Ketika menemani suami bersahur, (diri sendiri tak makan sebab tak puasa) tiba-tiba dunia gelap dan kaki dan tangan kebas selepas mengepam susu. Suami segera membaringkan saya dan diperiksa tekanan darah, dan ternyata bacaan agak rendah. Boleh jadi kerana saya baru sahaja mengepam susu. Bacaan gula juga rendah. Walaupun sudah kembali sedar, kami ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan. Kesihatan ibu berpantang tidak boleh dipandang ringan. Sentiasa dapatkan pemeriksaan yang lengkap sekiranya berlaku kemerosotan kepada tahap kesihatan, walaupun tanda-tanda mudah seperti penat, sesak nafas, pening kepala dan demam.

7. Pastikan melapor diri ke Klinik Kesihatan terhampir dengan rumah setelah keluar hospital selepas bersalin. Terdapat pasangan yang sengaja mengelak dengan tidak memaklumkan klinik sekiranya berpantang di tempat lain, tidak membuka pintu dan tidak mengalukan kehadiran jururawat ke rumah. Manfaatkan lawatan setiap hari jururawat kerajaan yang datang ke rumah ibu2 bersalin untuk pemeriksaan setiap hari sehingga hari ke-20 dan semasa temujanji suntikan vaksin sebulan untuk anak, kesihatan ibu turut akan diperiksa doktor. Maklumkan doktor sebarang masalah kesihatan anda termasuk sekiranya terdapat stress/tekanan yang tidak terkawal.

Kesimpulannya, fasa berpantang adalah fasa yang sangat penting untuk dipastikan tahap kesihatan fizikal, emosi, mental dan rohani wanita di tahap yang terbaik dan sentiasa diambil berat oleh si empunya diri, suami, keluarga dan juga sahabat. Pastikan anda bersedia, merancang dan berilmu untuk melaluinya. Dan sentiasa ingat, setiap pengalaman berpantang seorang anak dengan anak yang lain tidak akan semestinya sama. Justeru, lakukan persediaan sebaiknya.

Semoga Allah mempermudahkan hari-hari seterusnya. Terima kasih kepada Mak yang ikhlas berbakti, suami yang setia menjaga, anak-anak yg belajar untuk memahami dan sahabat serta jiran yang prihatin dengan ziarah, bertanya kabar dan menghantar makanan.

*Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim, Timbalan Ketua Wanita Isma Kuantan


Tiada ulasan: