SAMBUTAN Hari Bandar Warisan Dunia George Town tidak memberi erti dan hakikat yang penting kepada penduduk Pulau Pinang terhadap usaha memahami, memelihara dan memulihara nilai-nilai warisan apabila warisan sendiri tidak dihargai dan dipertahankan.
Sebaliknya
ia hanya menghadirkan rasa jengkel dan terkilan apabila warisan pihak
lain dikekal, dijamin dan dibanggakan, tetapi warisan sendiri bakal
terkubur dan lenyap. Bukankah ini satu malapetaka kepada bangsa dan
tanah air serta segala identiti dan sejarahnya?
Kita menyokong usaha untuk melihat semua unsur warisan terus berdiri menjadi sebahagian agenda semangat pembangunan bangsa dan negeri, serta mengambil iktibar yang ada padanya. Tetapi mengapa kerajaan negeri pimpinan DAP hanya bertumpu pada warisan kolonial peninggalan penjajah?
Adakah kerana ia mendatangkan ‘perolehan’ kepada kerajaan? Tiba-tiba
kepada warisan sendiri cuba dihilangkan tanpa sesalan hingga sekali gus
turut mengubah sosio-budaya dan ekonomi masyarakat di negeri ini.
Seolah-olah juga membenarkan pandangan awam bahawa DAP pro kepada ‘pihak
asing’.
Ketika pihak kerajaan boleh menjadi wakil UNESCO menjaga semua
warisan yang ada, mengapa pula menjadi pengancam untuk menghilangkan
dari peta segala warisan tradisi sendiri? Bukankah ini kontradik dan
tentunya dipengaruhi kepentingan atau agenda tersembunyi?
Kami menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng keluar dari topeng
kepura-puraannya dengan setidaknya menjelaskan manifesto mereka pada PRU
dahulu khususnya janji-janji berkaitan warisan. Malah, ke mana akhir
tuju dari Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 yang pernah
diwartakan?
Apakah semua itu sekadar mengaburi mata rakyat dan umpan PRU dan
seterusnya akan kekal bersikap hipokrit lantaran haloba mengejar
perolehan, lalu membunuh dan mematikan sendiri nilai bangsa dan negeri?
Suatu masa, rakyat Pulau Pinang perlu menggantikan sambutan ini sebagai
‘ratapan’.
* USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOF, Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan