Ketua Menteri Sarawak Datuk
Amar Abang Johari Tun Openg hari ini membidas timbalan presiden Amanah
Salahuddin Ayub yang mendakwa tindakan kerajaan negeri ini menghantar
peguam ke London berhubung Perjanjian Malaysia 1963 akan mengundang
orang luar untuk ”campur tangan” dalam hal ehwal dalaman negara.
“Kenyataan beliau mencerminkan kualiti
kepimpinan mereka (Amanah). Cetek sungguh pemikiran mereka. Sukar untuk
kita bergantung pada kepimpinan seperti itu,” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan jerayawara Lembaga Jurutera Malaysia.
Beliau berkata delegasi Sarawak akan
berada di London selama kira-kira seminggu dalam misi mencari fakta
untuk meneliti sumber dan dokumen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963
yang membawa Malaya, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak menjadi
Malaysia. (Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965 dan menjadi
negara sendiri).
Sabtu lepas, Abang Johari berkata
Sarawak akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan
mengkaji bahan rujukan berkaitan hak negeri ini mengikut Perjanjian
Malaysia 1963.
Pasukan itu akan diketuai Menteri Muda
Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek
Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari
berkata, syarikat cari gali minyak dan gas luar pantai milik Sarawak
akan memulakan operasinya dalam masa enam bulan lagi.
Kerajaan kini dalam proses menubuhkan
syarikat berkenaan, Petroleum Sarawak (Petros), 100 peratus milik
kerajaan negeri, yang akan bekerjasama dengan syarikat minyak nasional,
Petronas, katanya.
Menurut beliau, perkara berkaitan pelaburan awal syarikat itu masih dibincang.
Abang Johari berkata, sebelum ini,
syarikat minyak dan gas dari Sarawak hanya terlibat dengan aktiviti
minyak dan gas hiliran di Bintulu, dengan pelaburan dianggar berjumlah
AS$2 bilion.
Petras, katanya, akan terlibat dalam
aktiviti huluan cari gali minyak dan gas serta pengeluaran gas dan
minyak di kawasan perairan Sarawak.
Beliau berkata syarikat itu akan
menggunakan tenaga profesional daripada kalangan anak Sarawak yang sudah
terlibat dalam industri berkenaan, termasuk mereka yang kini bekerja
dengan Petronas, Shell dan Murphy Oil.
“Kami ada anak Sarawak yang terdiri
daripada jurutera dalam bidang ini dan ini akan memberi peluang kepada
rakyat Sarawak untuk bekerja dengan syarikat itu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri
menggunakan pendekatan holistik dan akan bekerjasama dengan Petronas
untuk mencari gali serta mengeluarkan minyak dan gas di perairan
Sarawak.
“Tiada gunanya menyalahkan orang lain.
Kami perlu gerakkan inisiatif sendiri dan mempersiapkan diri kami untuk
terlibat dalam industri ini,” katanya.
Beliau berkata keuntungan yang diraih akan dikongsi antara kerajaan negeri dan Petronas berdasarkan ekuiti.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan