BANGI – Pelbagai kenangan pahit dan manis dilalui seorang
tukang jahit terutamanya pada musim perayaan sepanjang lebih 40 tahun
menceburi bidang berkenaan.
Itulah luahan Tugimen Mukair, 44, pemilik Tum Tailors di Seksyen 9,
Bandar Baru Bangi ketika berkongsi pengalaman beliau dengan
MalaysiaGazette.
Bercerita kepada penulis, Tugimen berkata, kesibukan menjahit tanpa
mengira waktu sepanjang Ramadan membuat beliau terpaksa bersengkang
mata sehingga malam raya disebabkan menerima tempahan yang banyak
daripada pelanggan.
“Dulu masa mula-mula saya ceburi bidang jahitan ini, sampai malam
raya saya masih lagi menjahit baju raya kerana menerima tempahan yang
banyak. Terlalu seronok menerima tempahan sampaikan tidak sedar sudah
sampai malam raya.
“Tapi Alhamdulillah, semua pelanggan saya berjaya mendapatkan
tempahan mereka sebelum menyambut Aidilfitri. Saya akan siapkan juga
tidak kira masa kerana sudah mengambil tempahan daripada pelanggan.
“Malah ada satu tahun, ada pelanggan yang telefon saya untuk ambil
baju tempahan mereka, saya sudah berada di kampung pun masa itu. Untuk
puaskan hati pelanggan, saya patah balik ke kedai dan beri baju yang
siap itu kepadanya,” katanya.
Melangkah ke premis Tum Tailors, mata penulis disajikan dengan
pelbagai jenis fabrik yang dipamerkan khusus untuk pengunjung yang ingin
mendapatkan idea fabrik untuk ditempah.
Katanya, ekoran sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan,
beliau terpaksa menutup tempahan sejak minggu kedua Ramadan disebabkan
kekurangan tenaga kerja.
“Tempahan kami sudah tutup. Namun ada juga yang datang merayu untuk
kita ambil tempahan mereka semata-mata untuk dipakai di hari raya.
Mereka siap bawa kain sendiri dan bertegas mahu kami siapkan baju mereka
juga, sampaikan ada yang sanggup bayar lebih,” katanya.
Kenangan paling tidak dapat dilupakan beliau apabila ada dalam
kalangan pelanggan yang datang di saat-saat akhir tetap mahukan
perkhidmatan beliau.
Segala pujuk rayu digunakan pelanggan itu semata-mata ingin melihat tempahannya dijahit Tum Tailors.
“Ada pelanggan yang tiba-tiba datang nak minta kita buat tempahan
mereka, katanya untuk sambut raya. Merayu-rayu untuk kami siapkan baju
raya mereka. Jadi kami terpaksa juga ambil tempahan.
“Tapi yang pelik juga, kita terima tempahan di saat-saat akhir
namun bila kita telefon mereka, mereka tidak datang ambil tempahan. Itu
selalu berlaku tertutamanya pada Aidilfitri. Bila kita telefon tiga hari
sebelum raya, dia kata lupa pula untuk ambil,” katanya lagi.
Perkhidmatan yang diberikan merangkumi rekaan baju Melayu tradisonal, dan moden yang kini mendapat tempat di hati masyarakat.
“Setakat ini ada permintaan yang pelik dari pelanggan dalam
mengenakan busana tradisional. Ada satu pelanggan mahu kan baju
tradisional Melayu tapi potongannya mahu dimodenkan menjadi seakan-akan
baju coat moden.
“Agak pening juga saya untuk menerima tempahan itu, namun untuk
memuaskan hati pelanggan saya terima juga,” jelas Tugimen.
-MalaysiaGazette.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan