Isnin, 13 Februari 2017

Umno Selangor tolak surat peletakan jawatan Jamal

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic


SHAH ALAM: Perhubungan Umno Selangor pada hari ini menolak surat peletakan jawatan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata Jamal masih kekal dengan jawatan tersebut, namun status itu tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno kelak.

"Di dalam mesyuarat hari ini kita berbincang mengenai surat peletakan jawatan Jamal dan kita sebulat suara membuat keputusan untuk mengekalkan Jamal sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar.

"Bagaimanapun keputusan kami ini tertakluk kepada keputusan yang lebih tinggi di peringkat MT Umno.

Kita serahkan kepada mereka dan terpulang bagaimana hendak menimbangkan surat Jamal," katanya di sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Umno Negeri, petang tadi.

Jamal menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen itu kepada Noh dalam satu pertemuan pada Rabu lalu.

Jamal berkata, beliau nekad dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan tersebut kerana tidak mahu membebankan Umno susulan penahanannya berhubung insiden pencerobohan sebuah pusat hiburan pada Disemrber tahun lepas.


Tiada ulasan: