Isnin, 6 Februari 2017

Sultan Johor perkenan TMJ jadi calon Presiden FAM

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi perkenan membenarkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
 
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata perkenan itu diberikan susulan pertemuan delegasi ahli gabungan FAM dengan Sultan Ibrahim di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi, di sini, pagi tadi.
 
Katanya, ketika pertemuan itu, Sultan Johor mahu melihat sokongan yang tulen daripada ahli gabungan yang mahukan Tunku Ismail menerajui tampuk pemerintahan tertinggi FAM.
 
"Tuanku juga bertitah jangan berikan tempoh tertentu, sebaliknya memberikan masa kepada Tunku Ismail bagi melakukan perubahan terhadap bola sepak negara.
 
"Dengan perkenan Sultan Johor, ahli gabungan FAM beranggapan Tunku Ismail bersetuju untuk menerima pencalonan bagi menyandang jawatan Presiden FAM pada pemilihan yang berlangsung bulan hadapan," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan bersama Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi.
 
Mohd Yusoff berkata, 14 ahli gabungan FAM hadir pada pertemuan pagi tadi, manakala enam lagi iaitu Perak, Kelantan, Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak hadir.
 
"Pertemuan berlangsung selama satu jam dan pada mulanya kami menjangkakan pertemuan akan menjadi sedikit tegang, sebaliknya diberi layan mesra," katanya.
 
 

Tiada ulasan: