Isnin, 6 Februari 2017

SPR terima 272,143 Pendaftar pemilih baharu suku ke-4 2016

BERNAMA

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 272,143 pendaftaran pemilih baharu pada suku keempat 2016 iaitu antara Oktober hingga Disember.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata dalam tempoh itu juga, SPR menerima sebanyak 80,821 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar.

Selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 4/2016 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 7 hingga 20 Feb di 960 tempat pameran di seluruh negara, katanya.

"Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi pada bulan Oktober, November dan Disember 2016 dinasihatkan menyemak RDPT Suku Tahun 4/2016," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi permohonan pendaftaran baharu, jika pemohon mendapati nama tidak tersenarai dalam RDPT itu,
pemohon boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan, katanya.

Pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama individu di dalam RDPT itu, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C, katanya.

"Semasa tempoh pameran RDPT itu, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih," katanya.

Menurutnya antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih adalah kerana mereka didapati tidak berhak untuk terus kekal dalam daftar pemilih atas sebab seperti telah meninggal dunia atau lucut hak warganegara.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT Suku Tahun 4/2016, orang ramai boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88927018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam RDPT Suku Tahun 4/2016.

Tiada ulasan: