SHAH ALAM: Tindakan menyalurkan dana
Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu skim khairat kematian untuk warga emas
dan orang kurang upaya (OKU) kepada ahli Parlimen pembangkang dari luar
Selangor disifatkan sebagai perbuatan pecah amanah dan mengkhianati
rakyat.
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,
ketika zamannya, perkara itu tidak berlaku kerana pihaknya menjalankan
audit secara ketat setiap minggu, selain jumlah dana juga dihadkan
kepada hanya RM1,000 untuk setiap pengeluaran.
Katanya, jika ada kes-kes terpencil seperti penerima tersebut menetap
di Wilayah Persekutuan sebelum 1974 (sebelum pembentukan Wilayah
Persekutuan) sekalipun, prosesnya tidak mudah kerana perlu disahkan
status pemastautin oleh ketua kampung atau pejabat daerah.
“Itu satu kesalahan (menyalurkan kepada ahli Parlimen luar Selangor),
boleh kata pecah amanah. Ini tidak boleh dibenarkan sebab duit khairat
kematian ini adalah duit rakyat dan hanya yang bermastautin layak
menerima. Pada saya, ini mengkhianati rakyat.
“Kalau Menteri Besar Selangor sekarang galakkan perkara ini, rakyat
boleh bawa perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) dan ke mahkamah kerana menyalahgunakan dana negeri,”
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md.
Yunos membuat laporan kepada SPRM selepas beliau mendapat maklumat
terdapat sembilan ahli Parlimen pembangkang mendapat faedah lebih RM10
juta daripada dana khairat kematian itu.
Dalam laporannya itu, Jamal turut menyertakan surat Perbendaharaan
Negeri Selangor bertarikh 13 Disember 2013 yang dihantar kepada seorang
Pengurus Cawangan Ambank, bagi memohon pembukaan akaun bank untuk
penyaluran dana SMUE membabitkan kesemua sembilan wakil rakyat tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, ketika pentadbirannya, kerajaan
negeri memang membenarkan ADUN mengeluarkan dana khairat kematian
tetapi jumlahnya tetap dihadkan RM1,000 untuk setiap kali pengeluaran,
manakala baki RM1,500 lagi khairat itu akan dibayar kepada penerima oleh
pejabat daerah.
“Memang kita bagi kepada ADUN tapi mereka perlu bertanggungjawab,
kalau salah ADUN tersebut kena bertanggungjawab, dia tak boleh salahkan
mana-mana pihak, kalau salah dia kena bayar sebab kita tidak mahu sistem
kebajikan ini rosak akibat tidak amanah,” katanya.
Ditanya apa yang akan dilakukannya jika masih bergelar Menteri Besar
Selangor, Abdul Khalid secara tegas berkata, beliau akan menghentikan
perkara tersebut kerana baginya, prinsip amanah dalam sesebuah
pentadbiran tidak boleh sesekali dikompromikan.
“Saya hentikan kalau saya tahu kad pengeluaran wang automatik
diberikan kepada ahli Parlimen bukan dari Selangor kerana saya tidak
mahu wujud konflik kepentingan. Malah, saya sendiri tidak pegang kad itu
sewaktu menjadi Menteri Besar dahulu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan