Sabtu, 11 Februari 2017

'Saya dengar MB Selangor letak jawatan...'

Alya Alhadjri


Selepas Datuk Seri Najib Razak, kini giliran Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pula mengecam Datuk Seri Azmin Ali berhubung isu peletakan jawatan menteri kanan yang dinyatakan menteri besar Selangor itu.

"Saya pun ada dengar dia nak letak jawatan menteri besar Selangor! Saya dengar dia akan letak jawatan. Jadi, samalah.

"Saya (memang) berbohong tapi saya beritahu kamu. Ini pembangkang tak guna," katanya di majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Flat Seri Penara, Bandar Tun Razak hari ini.

Tengku Adnan adalah menteri Wilayah Persekutuan.

Petang semalam Azmin mencetuskan tanda tanya apabila mendakwa ada seorang menteri kanan "telah meletak jawatan" tetapi dia tidak mendedahkan sebarang identiti tokoh terbabit.

Kata timbalan presiden PKR itu, tindakan berkenaan dibuat kerana tokoh terbabit "tidak mahu bersubahat dengan 1MDB".

Ia mencetuskan pelbagai spekulasi dan beberapa nama menteri kanan - terutama dari parti Umno - disebut-sebut.

Malam tadi perdana menteri mengesahkan tiada mana-mana menteri memberitahunya ingin meletak jawatan.

Tiada ulasan: