Annuar yang kini masih lagi menjadi calon tunggal untuk kerusi tersebut berkata, sekiranya berlaku pertandingan, ia akan berlangsung dalam suasana “keluarga bola” dengan pertandingan itu katanya bebas daripada rasuah dan sogokan.
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, beliau tidak mempunyai peluang untuk memenangi pertandingan merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaliknya beliau merasakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin atau proksi menteri akan memenangi pertandingan merebut jawatan berkenaan.
“Saya mana ada peluang nak lawan orang politik. Saya datang dari negeri kecil, dan jaga kelab kecil.”
“Buat masa ini tidak terfikir apa-apa lagi kerana saya sedang sibuk bekerja keras untuk beli sebuah kelab bola sepak luar negara, kemungkinan di Eropah kalau ada rezeki dan sibuk menjalankan tugas di Johor dan saya ini orang angkuh, mana layak, yang layak hanya orang-orang politik, menteri yang jujur, bijak tentang bola sepak dan berintegriti,” kata Tunku Ismail, di laman Facebook Johor Southern Tiger.
Tunku Ismail juga secara sinis berkata, beliau adalah seorang yang angkuh manakala calon lain untuk jawatan berkenaan adalah orang yang baik.
“Mereka adalah orang yang baik. Saya seorang yang angkuh. Tetapi perbezaan di antara kami adalah mereka memerlukan wang, kedudukan, dan kemudian membunuh impian anda. Saya pula mempunyai sumber untuk memenuhi impian anda,” katanya.
Sementara itu, calon bagi kerusi berkenaan, Annuar Musa membayangkan tiada sebarang kempen atau lobi akan dibuat untuk memenangi jawatan berkenaan dan beliau turut memberi jaminan sekiranya berlaku pertandingan untuk jawatan itu, kalah atau menang tidak akan menimbulkan rasa “kecil hati” pihaknya.
Annuar yang kini masih lagi menjadi calon tunggal untuk kerusi tersebut berkata, sekiranya berlaku pertandingan, ia akan berlangsung dalam suasana “keluarga bola” dengan pertandingan itu katanya bebas daripada rasuah dan sogokan.
“Sehingga hari ini difahamkan saya masih merupakan calon tunggal yang secara rasmi dan hitam putih menerima pencalonan bagi jawatan presiden FAM.
“Ditakdirkan ada pertandingan, insha Allah ia akan berjalan secara keluarga bola, perwakilan pun cuma ada 39 orang termasuk saya, insha Allah di pihak saya tiada kempen dan lobi. Menang, kalah tiada masalah dan tiada kecil hati, pertandingan juga saya percaya bebas rasuah dan sogokan dalam apa jua bentuk, lagipun itulah yang kita mahu dalam FAM, bersih,” kata Annuar, dipetik laman Facebook miliknya.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pihaknya juga akan menerima sesiapa sahaja yang dilantik mengisi jawatan tertinggi FAM.
“Siapa pun saya terima, termasuk orang politik atau siapa sahaja. Saya juga tidak akan menentukan siapa pegawai atau jurulatih kebangsaan, tiada keputusan dibuat secara sendirian.
“Kita hidupkan semangat musyawarah atau ‘teamwork’, biar semua bebas bersuara dan beri pendapat, kebebasan menegur dan mengkritik perlu kita galakkan,” katanya, dan menambah, tiada tindakan akan diambil semata-mata hanya kerana mengkritik.
Beliau turut mencadangkan “cetakan biru” untuk pelan 30 tahun perancangan bola sepak negara harus diwujudkan di samping pelan jangka pendek dan sederhana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan