Pengerusi Gerakan NGO Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos dan sembilan pengikutnya didakwa ditahan polis ekoran tindakan mereka mencabul wanita dan menyamun ketika menyerbu premis yang didakwa sebagai pusat judi di sekitar daerah Ampang pada Disember tahun lepas.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindak-tanduk pengikut Jamal ketika menyerbu sebuah premis kafe siber menjadi tular di media sosial.
Ia menunjukkan kelibat beberapa orang lelaki yang dipercayai pengikut Jamal mencabul kehormatan seorang wanita serta memeras ugut seorang pengunjung lelaki.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi Bernama mengesahkan Jamal ditahan petang semalam di kediamannya manakala sembilan lagi ditahan kelmarin.
Beliau berkata mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beberapa barang milik premis berkenaan dilaporkan hilang.
"Polis ada menerima beberapa laporan mengenai perkara ini," katanya.
Fadzil berkata permohonan reman terhadap Jamal dan sembilan pengikutnya akan dibuat hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan