Selasa, 7 Februari 2017

PRU14: Pembangkang gagal tawan Putrajaya tanpa PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD |


 

KUALA NERUS: Gabungan parti-parti pembangkang tidak akan berjaya menawan Putrajaya tanpa kerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata berdasarkan statistik peratusan sokongan PAS mempunyai kekuatan akar umbinya antara 40 hingga 45 peratus.

Justeru, katanya PAS hanya memerlukan lonjakan tujuh peratus sokongan dalam pilihan raya bagi menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“PAS boleh menang tetapi tidak banyaklah, sebab itu kita perlu juga pada nilai tambah. Jika kita ada 45 peratus, perlu lagi tujuh peratus untuk mengalahkan Umno.

“Dalam politik Malaysia, untuk mengalahkan BN dan menawan Putrajaya tidak ada pembangkang boleh menang untuk tawan Putrajaya tanpa PAS,” tegasnya ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum ke-14, PAS Kawasan Kuala Nerus di Dewan Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq), Batu Enam, kelmarin.

Menurutnya, senario politik dalam negara ini yang menjadi pemerintah adalah Barisan Nasional tunjang kekuatan adalah Umno.

Katanya, semua komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan telah kalah tetapi masih bertahan dengan Umno.

“Parti yang boleh kalahkan Umno bukan DAP tetapi kombinasi PAS dengan Bersatu atau PKR yang kuat.

“Faktor lain yang paling besar ialah sokongan rakyat kepada kita itu besar. Jika sokongan rakyat tidak kuat, kita jentera kuat mana sekali pun pada adatnya payah menang.

“Tapi, jika sokongan ‘power base’ itu sudah ada dengan jentera yang ada kita akan mencapai kemenangan,” ujarnya.

Justeru itu, katanya jentera pilihan raya perlu memberi perhatian terhadap dua perkara penting iaitu daftar pemilih yang kemas dan pengundi luar kawasan.

Menurutnya, jika pengundi luar itu tidak pulang mengundi akan memberi kesan besar kepada mana-mana parti bertanding.

“Pengundi luar ini yang telah kita kenal pasti sokongannya. Jika pengundi luar tidak balik akan memberi kesan kepada kita. Di Terengganu, tidak kurang dari 1,000 orang pengundi luar di setiap Dun,” jelasnya.

Tiada ulasan: