Isnin, 6 Februari 2017

PKR hargai usaha PPBM berunding dengan PAS

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR menghargai usaha pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengusahakan rundingan politik dengan PAS ke arah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan datang.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali berkata matlamat utama parti pembangkang kini adalah misi menyelamatkan negara daripada pemerintahan Umno Barisan Nasional (BN), justeru sebarang perselisihan politik harus diminimakan sebanyak mungkin.
 
"Apabila Bersatu (PPBM) mengambil usaha berbincang dengan PAS, sudah tentu itu satu pendekatan yang amat terbuka dan sikap kematangan kedua-dua pihak itu harus disambut baik," katanya kepada pemberita.
 
Beliau berkata demikian mengulas usaha PPBM dan PAS mengadakan rundingan ke arah mengadakan kerjasama politik pada PRU14 akan datang.
 
Meskipun rundingan itu belum menampakkan hasil, Ahli Parlimen Gombak itu bertegas usaha PPBM dan PAS patut dipuji.
 
Azmin menambah, PKR bersedia untuk menerima mana-mana pihak untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dan berganding bahu menumbangkan Umno BN pada pilihan raya umum kali ini. 
 
"Kerana ia selaras dengan pendirian PKR dimana kita mahu pendekatan inklusif dalam pastikan ada kekuatan baru dala PRU14. 
 
"Kita sedia terima mana-mana individu atapun parti yang progresif, yang nak lakukan perubahan untuk selamatkan negara dan pulihkan ekonomi Malaysia. Itu matlamat utama kita dalam PKR.
 
"Sebab rakyat dah sedia untuk lakukan perubahan. Tapi pimpinan parti-parti juga mesti tawaduk', berlapang dada dan bertolak ansur dalam teliti perancangan akan datang," ujar Azmin.
 
Rundingan PPBM dan PAS minggu lepas mencetuskan polemik apabila ada pihak yang melihat ia sebagai permulaan kepada PAS menjalinkan kerjasama politik dengan parti pembangkang yang lain.
 
Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perjumpaan berkenaan adalah pertemuan biasa atas permintaan PPBM dan bukan suatu perundingan khusus. 
 
Hadi bertegas rundingan itu belum membawa ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.
 
 

Tiada ulasan: