Rabu, 1 Februari 2017

PAS-PPBM perhalusi kerjasama hadapi PRU14

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
SHAH ALAM: PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini mengambil pendirian untuk memperhalusi deraf rangka kerjasama antara kedua-dua parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang. 
 
Ketetapan itu diambil dalam satu mesyuarat tertutup yang berlangsung di satu lokasi 'rahsia' di Bangsar, Kuala Lumpur.
 
"Mesyuarat hari ini telah memperhalusi deraf rangka kerjasama persefahaman politik PAS-PPBM dalam menghadapi PRU 14 dan beberapa ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama antara kedua-dua parti.
 
"Rangka kerjasama antara PAS dan PPBM akan diperhalusi oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat," demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sebentar tadi.
  
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama antara Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir.  
 
Mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Teknikal Bersama PAS-PPBM untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan kedua-dua parti.  
 
"Sehubungan itu, mesyuarat hari ini juga telah bersetuju untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Teknikal Bersama PAS-PPBM untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan-keputusan yang dipersetujui oleh kedua-dua parti," menurut kenyataan berkenaan.
 
Kedua-dua parti pada awal hari ini mengadakan pertemuan secara tertutup pada jam 11 pagi tadi di satu lokasi di ibu kota.
 
Dalam pertemuan itu, difahamkan PAS diwakili timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Naib Presiden yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dr Idris Ahmad, manakala PPBM diwakili timbalan presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang turut mempengerusikan pertemuan berkenaan.
 
Media yang memetik sumber melaporkan tiada penglibatan Presiden kedua-dua parti iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan berkenaan.
 
Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md Nor berkata segala perkembangan berhubung rundingan berkenaan akan dibawa ke dalam mesyuarat antara PH dengan PPBM kelak.  
 
 

Tiada ulasan: