Rabu, 8 Februari 2017

Mungkinkah Zaid bantu DAP kuasai kerusi MB Selangor?

BNBBC ·

Zaid Ibrahim - Gambar fail Bloomberg
Zaid Ibrahim – Gambar fail Bloomberg

Selepas umum menyertai DAP, mungkin sudah ada yang bertanya, berapa lama Datuk Zaid Ibrahim akan bersama-sama dengan parti dinasti Lim itu.

Malah, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, walaupun berseloroh tetapi cukup sinikal mengenai sikap bekas Zaid yang pernah mengecapi nikmat ketika menyertai UMNO.

Dr Mahathir dalam sidang media ketika pengumuman Zaid itu berharap Zaid akan kekal dalam DAP untuk tempoh masa yang lama.

“Saya fikir dia (perlu) duduk dalam DAP lama-lamalah sikit.

“Dalam negara kita banyak keturunan katak. Sifat katak harus kita ketepikan dalam pembangkang,” katanya.

Beliau jelas merujuk sikap sesetengah ahli politik yang suka melompat parti.

Zaid tenti tidak terkecuali kerana selepas keluar UMNO, beliau menyertai PKR dan dipilih bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang menyaksikan beliau tewas kepada Datuk P.Kamalanathan.

Beliau kemudian mengecam pimpinan tertinggi PKR dan Zaid akhirnya meninggalkan parti itu lalu mengetuai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

Justeru, tidak hairan jika ada yang bertanya berapa lama beliau akan bersama-sama DAP.

Apapun, penasihat DAP Lim Kit Siang menolak Zaid kan jadi primadona parti itu.

Betulkah begitu?

Atau Zaid sebenarnya dalam skrip DAP untuk menguasai kerajaan Selangor jika kekal menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perlu ingat, DAP pernah menguasai kerusi DUN Perak tetapi kerana tidak ada wakil rakyat Melayu yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar, parti itu terpaksa setuju melepaskan jawatan kepada wakil PAS ketika itu Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Di Selangor, DAP juga memenangi kerusi DUN yang banyak iaitu 15 kerusi sama seperti dimenangi PAS.
Namun, kononnya atas alasan consensus dengan PAS menerajui Kelantan, DAP Pulau Pinang, PKR diberikan peluang mentadbir kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, jika pada PRU 14, DAP Berjaya menambah bilangan kerusi dan mengatasi PKR serta PAN, tidak mustahil DAP akan menuntut jawatan Menteri Besar.

Maka, sukar ditolak kemungkinan penyertaan Zaid di dalam DAP adalah sebahagian rancangan tersebut.

Perlu diingat, selain Zaid, DAP juga menerima bekas pensyarah UIAM, Aziz Bari menyertai parti itu selepas beliau tewas ketika menyarung jersi PKR bertanding di Parlimen Sabak Bernam.

Beliau memberi alasan tidak mahu bersama PKR yang didakwanya mengamalkan system parti ‘tempang’.

Bermakna kini DAP mempunyai dua ‘primadona’ yang boleh ditonjolkan sebagai calon menteri besar mewakili parti itu.

Menyedari tidak ada wakil PKR ketika sidang media Zaid siang tadi, boleh diduga bahawa mereka sudah tercium taktik DAP ini.

Mustahil ke semua pimpinan PKR ke mahkamah memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tentu Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali juga menyedari kemungkinan ini.

Jika benar, PKR kena menang banyak kerusi di Selangor dengan bantuan PAN.

Dilihat sikap berbaik-baik Azmin dengan PAS, tentu PKR juga masih mengharap sokongan PAS supaya kerusi menteri besar kekal miliknya bukan kepada wakil Melayu DAP sama ada Zaid mahupun Aziz.

Tiada ulasan: