shahbudindotcom
PRU
14 ini perhitungan utamanya adalah untuk menyingkirkan Najib Razak yang
bukan saja terpalit dengan skandal 1MDB, wang RM2,600 juta, berkawan
baik dengan Jho Low dan gaya kepimpinan kleptokrasi, malah juga kerana
berterusan mendatangkan sengsara kepada kehidupan rakyat.
Lantaran itu, tidak menghairankan suara penolakan terhadap Najib boleh didengar di mana-mana sekarang ini.
Hampir
tidak ada kelompok atau segmen masyarakat yang tidak membenci anak Tun
Razak itu. Mengata dan melecehkan Najib sudah menjadi perbualan biasa di
kedai kopi, surau, masjid, pejabat, pasaraya, kenduri-kendara, grup
whatsapp dan di mana-mana saja.
Begitu
juga, tidak menghairankan lagi melihat orang menutup atau mengalih
siaran televisyen apabila tiba-tiba Najib muncul atau suaranya terpacul
memecah keheningan.
Pemimpin-pemimpin
UMNO pun, jika berbual dengan rakan-rakan rapat mereka, turut tidak
terlepas menyalahkan Najib terhadap semua yang berlaku sehingga makin
menyukarkan ia mengekalkan kuasanya.
Cuma, disebabkan terikat dengan jawatan, mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk merubah keadaan.
Seorang
rakan memberitahu, isterinya kadang-kadang membebel mengenai Najib,
tidak saja di meja makan, tetapi juga sampai ke bilik tidur. Esoknya,
kata beliau, sebelum ke pasar, sekali lagi isterinya bersungut mengenai
Najib.
Ini
menunjukkan penolakan, kebencian dan sentimen anti Najib adalah sesuatu
yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Ketika era Tun Mahathir Mohamad
atau Tun Abdullah Badawi, memang sentimen kebencian diakui wujud, tetapi
ia tidaklah separah sekarang ini.
Jika
dihitung secara umum, mereka yang masih menyokong Najib tidak sampai
pun 30 peratus. Itu pun sebahagiannya disebabkan kepercayaan bahawa
tidak menyokong Najib sama seperti mahu "membunuh" UMNO.
Ikut
hukum akal, UMNO dan BN, selagi terus diketuai Najib, hanya menunggu
masa saja lagi untuk dicabut nyawanya daripada terus berkuasa. Ia ibarat
pesakit nazak yang tidak mampu diubati lagi.
Satu-satunya,
talian hayat UMNO untuk terus kekal berkuasa ialah melalui pertolongan
Pas. Parti Islam yang yang pernah mengkafirkan UMNO itu kini sedang
disintuk-limau dan dibelai oleh Najib dengan pelbagai janji,
berjalan-jalan ke luar negara atas nama Akta 355 dan dengan khabarnya
juga melalui "habuan ehem, ehem" agar kekal bersendirian dan menjadikan
pertandingan tiga penjuru.
Kata
pepatah lama, tiada angin takkan pokok bergoyang. Pepatah lain pula
menyebut, kalau tidak berada-ada, takkan tempua bersarang rendah.
Sebab
itu, menjadi kehairanan seluruh dunia mengapa Pas masih tidak menyaman
Sarawak Report, manakala meskipun dicabar secara terbuka oleh Husam Musa
agar segera menyeretnya ke mahkamah, Pas masih berdalih-dalih untuk
mengambil tindakan saman.
Pas
sendiri melalui kenyataan Hadi Awang dua hari lalu, semakin jelas warna
perjuangan dan laluan yang bakal dilaluinya. Bersatu dan PKR tidak
perlu membuang masa dan terhegeh-hegeh lagi memujuk rayu Pas untuk
bekerjasama. Terus mengharapkan Pas hanya akan membuatkan parti itu
mengada-ngada dan tergedik-gedik cuba menarik perhatian.
Pakatan
Harapan dan Bersatu harus sedar bahawa sentimen anti Najib sekarang ini
sedang mencapai kemuncaknya. Najib, UMNO dan BN tiada lagi kekuatan
sendiri untuk menarik keyakinan rakyat. Selain bergantung nyawa kepada
Pas, Najib mungkin terus berusaha untuk mengubah persepsi rakyat dengan
cara mengungkit-ungkit cerita lama berkaitan Tun Mahathir.
Tetapi,
lihat saja bagaimana isu BMF dan forex yang cuba dihidupkan semula,
telah gagal hanya dalam waktu yang singkat untuk melemahkan kekuatan
pembangkang. Mungkin beberapa isu lagi akan dibangkitkan selepas ini,
tetapi sebagaimana BMF dan forex menemui kegagalan, ia juga akan gagal
kerana Najib dengan segala bebannya adalah bala paling besar yang tidak
mungkin mampu mengubah apa-apa kepada rakyat dan negara.
Sentimen
anti Najib pada hakikatnya sudah cukup kuat untuk menolak Najib dan
menumbangkan UMNO serta BN. Ketika ini juga, rakyat tidak lagi melihat
Pas sebagai parti Islam berikutan tingkah lakunya yang tidak segan-segan
berbaik dengan dilihat orang yang dilihat jahat di seluruh pelusuk
dunia.
Dalam
mana-mana masyarakat pun, jika imam masjid berkawan baik dan selalu
minum-minum dengan seseorang yang disyaki pencuri, ia tentu akan menjadi
bualan dan sebagaimana pencuri itu sedia dijauhi, imam tersebut juga
semakin kurang didekati oleh sesiapa.
Dalam
hal ini, biarkan saja Pas terus dengan cengkeramanya bersama Najib dan
UMNO. Pakatan Harapan dan Bersatu perlu yakin dengan kebijaksaaan rakyat
dalam membuat pilihan, sambil terus berusaha memberi penerangan
semaksimum mungkin ke merata-rata ceruk kampung dan desa di seluruh
negara.
Lagi
pun, dengan Bersatu, PKR dan Amanah yang majoritinya adalah Melayu,
ditambah dengan DAP juga semakin diterima oleh orang-orang Melayu,
gabungan itu sudah memadai untuk mendapatkan sokongan daripada
orang-orang Melayu sendiri.
Sentimen
anti Najib yang dijangka berterusan, bukan saja akhirnya akan membenam
UMNO dan BN, malah yakinlah, ia juga akan menenggelamkan Pas sekali
bersama dengannya.
Sebagaimana
yang disebut di awal lagi, PRU 14 bukan berkaitan hal-hal lain,
termasuk Akta 355 sekali pun, tetapi khusus tentang keinginan
menyelamatkan negara dan menolak Najib yang bersamanya ada beban 1MDB,
Jho Low, wang RM2,600 juta, ciri-ciri kleptokrasi dan kepimpinan yang
berterusan membeban serta menyusahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan