Khamis, 2 Februari 2017

Kempen bebas beg plastik Selangor paparkan sisi bebal Umno

Berita Daily
 
 

Kebelakangan ini, media pro parti yang mengepalai Kerajaan Persekutuan giat menghentam kempen bebas beg plastik oleh Kerajaan Selangor.

Rasanya, sudah hampir sebulan kritikan demi kritikan dilemparkan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali susulan pelaksanaan kempen itu.

Utusan Malaysia dan TV3 selain laporan berkala oleh Berita Harian dan New Straits Times cuba untuk menjustifikasikan betapa bengap dan bodohnya Mohamed Azmin menjalankan kempen bebas beg plastik itu.

Yang cuba diuar-uarkan ialah, ke mana perginya caj 20 sen yang dikenakan oleh pasar raya terhadap pengguna di Selangor yang menggunakan beg plastik.

Media pro parti pentadbir di Putrajaya menggambarkan seolah-olah Kerajaan Selangor mendera pengguna negeri itu dan memihak kepada golongan peniaga untuk membesarkan kantung mereka.

Itu naratif yang dipersembahkan pemimpin Umno dan Barisan Nasional Selangor, yang mana dikutip oleh Utusan Malaysia, TV3, Berita Harian dan New Straits Times untuk laporan berita.

Mohamed Azmin bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong acap kali menjelaskan sememangnya kerajaan negeri membenarkan pengusaha pasar raya di negeri itu mengenakan caj 20 sen terhadap pengguna yang masih mahu menggunakan beg plastik bagi membawa barangan yang dibeli di pasar raya.

Alasannya mudah, iaitu mahu mendidik pengguna di Selangor supaya mengurangkan penggunaan beg plastik dan membiasakan diri membawa beg sendiri dari rumah untuk pembungkusan barangan yang dibeli.

Jika dilihat secara mendalam akan kebenaran oleh kerajaan negeri mengenakan caj 20 sen itu, ia sememangnya wajar kerana Selangor adalah negeri penyumbang terbesar sisa pepejal berbanding negeri lain dalam Malaysia.

Paling banyak sisa pepejalnya ialah beg plastik dan ia menyumbang kepada pelbagai masalah termasuk penularan wabak penyakit seperti denggi dan zika.

Penulis sangat yakin, langkah itu tepat sama sekali dan ia juga dilaksanakan di Pulau Pinang dan Melaka atas alasan yang sama sejak beberapa tahun lalu.

Penduduk di Selangor juga sangat terdedah dengan dunia luar serta rata-ratanya berpendidikan tinggi, mengetahui bahawa langkah sama telah diambil di negara maju sejak beberapa dekad lalu bertujuan mengurangkan beg plastik.

Pada sama sama, kesedaran berhubung hak pengguna dan sikap pesimis majoriti rakyat Selangor yang tinggi turut mendorong Kerajaan Selangor untuk mengambil dasar itu.

Berikan keizinan kepada pengusaha pasar raya besar untuk kaut keuntungan menerusi caj 20 sen bagi pembelian beg plastik.

Tentunya majoriti pengguna di Selangor tidak suka pasar raya membuat keuntungan lebih, dan lebih rela membawa beg sendiri dari rumah. Hasilnya, mana mungkin pasar raya boleh buat untung dengan penjualan beg plastik dek sikap pesimis penduduk di Selangor.

Langkah Kerajaan Selangor mengurangkan penggunaan beg plastik tidaklah gopoh, malah tepat pada masanya ketika populasi penduduk negeri meningkat mendadak.

Jika tidak dibuat sekarang, penulis tidak boleh bayangkan sisa pepejal yang terpaksa diurus kelak. Tentu sahaja kosnya mahal, mendatangkan wabak dan mungkin bencana alam seperti banjir kilat.

Apabila Umno dan Barisan Nasional Selangor menghentam kempen bebas beg plastik di Selangor, penduduk Selangor sebenarnya keliru dengan pendirian sedemikian.

Bukankan langkah itu bagus memelihara alam sekitar dan menjimatkan? Apa yang Umno dan Barisan Nasional mahu? Boleh sahaja mengkritik dan membangkang tetapi bukan sembrono.

Natijahnya, Umno dan Barisan Nasional khususnya di Selangor dilihat tidak jelas, dungu dan keliru dengan kempen politik sendiri. Senang cerita tak ada substance.

Yang jadi mangsa ialah Utusan Malaysia, TV3, Berita Harian dan New Straits Times. Tidak semena-mena media arus perdana itu menjadi bebal laporannya. Kasihan penulis pada wartawan terbabit.

Tiada ulasan: