ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN),
Hospital Kuala Lumpur (HKL) sedikit kecoh awal pagi ini apabila polis
menahan seorang pengamal media asing yang 'berkampung' bersama puluhan
media yang membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Jurukamera Korean Broadcasting System (KBS) itu ditahan Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, DSP M Gunalan selepas empat
kenderaan pacuan empat roda polis bersama sepasukan Pasukan Petugas Khas
Jenayah Terancang (STAFOC) tiba di situ pada pukul 1.40 pagi tadi.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman.
Difahamkan, jurukamera KBS itu ditahan kerana dipercayai berada di sekitar IPFN dalam keadaan mencurigakan.
Menurut jurucakap KBS, jurukamera itu ditahan setelah didapati tidak membawa dokumen pengenalan diri serta pasport.
"Polis telah membebaskan dia dalam masa setengah jam setelah kami
membawa dan menunjukkan segala dokumen yang perlu," katanya kepada
pemberita, di Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Sukri ketika dihubungi Bernama berkata kehadiran sepasukan STAFOC
bukan kerana membawa anak sulung mendiang Jong-nam iaitu Kim Han-sol,
21, yang dijangka hadir ke IPFN untuk membuat pengecaman mayat dan ujian
Deoksiribonukleik Asid (DNA).
Puluhan petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di IPFN sejak
5 petang semalam bagi menunggu kehadiran Han-sol yang dijangka hadir ke
IPFN untuk melakukan ujian DNA bagi urusan menuntut mayat selain
membantu siasatan kes itu namun kelibat beliau tidak kelihatan sehingga
awal pagi ini.
Ujian DNA yang akan dibuat oleh Han-sol adalah bagi tujuan pengesahan
identiti seperti yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia.
Jong-nam yang merupakan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim
Jong-un, meninggal dunia pada 13 Feb lepas ketika dalam perjalanan ke
hospital.
Beliau sebelum itu dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau
apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain
dipercayai mengandungi cecair beracun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan