PUTRAJAYA: Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menyerahkan surat
peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Sungai Besar dan Pengerusi
Barisan Nasional (BN) Parlimen itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan
UmnoSelangor, Tan Sri Noh Omar di sini.
Jamal berkata, beliau nekad dengan pendiriannya untuk melepaskan
jawatan tersebut kerana tidak mahu membebankan Umno susulan penahanannya
berhubung insiden pencerobohan sebuah pusat hiburan pada Disember tahun
lepas.
"Beliau (Noh) menasihatkan saya supaya menarik balik surat peletakan
jawatan itu tetapi saya nyatakan kepada beliau bahawa pendirian saya
jelas, tidak mahu menjadi beban kepada Umno kerana saya sayangkan
parti," katanya dipetik Bernama Online hari ini.
Jamal berkata Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, menghormati pendirian tersebut dan akan membawa
perkara itu untuk dibincangkan di peringkat pengurusan parti.
Beliau yang berhasrat untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada
perniagaannya selepas ini, bagaimanapun berkata akan meneruskan amanah
yang diberi pucuk pimpinan parti jika diminta berbuat demikian.
Pada Isnin lepas, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah
Malaysia (GNGMM) mengumumkan akan melepaskan semua jawatannya dalam Umno
selepas dibebaskan daripada tahanan reman bagi membantu siasatan
berhubung serbuan ke atas beberapa premis yang disyaki menjalankan
kegiatan perjudian di sekitar Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan