Khamis, 16 Februari 2017

Jamal dakwa dapat bukti penyelewengan YAWAS daripada Rafizi

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos bercakap pada sidang media ringkas sebelum menyerahkan dokumen bukti penyelewengan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor keatas dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam untuk siasatan. foto SAFWAN MANSOR,
 
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa mendapat bukti penyelewengan Kerajaan PKR Selangor daripada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menyerahkan kepadanya beberapa dokumen membabitkan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu pada hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyerahkan dokumen dan bukti membabitkan penyelewengan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang disalurkan dibawah YAWAS.

“Kamu nak tahu mana saya dapat bukti ini? Saya dapat dari rakan baik saya YB Rafizi Ramli,” kata Jamal kepada wartawan di perkarangan pejabat SPRM.

Dalam aduan yang dihantar hari ini, Jamal menimbulkan kemusykilan mengenai dana yang sepatutnya dituju kepada Rafizi tetapi kemudiaan disalurkan kepada akaun seorang yang bernama Muhammad Firdaus Hashim.

“Kemusykilan timbul apabila dana yang dituju kepada MP Pandan Rafizi diminta disalurkan kepada akaun yang dibuka di atas nama Muhammad Firdaus Hashim.

“Atas kapasiti apa dana disalur kepada seseorang yang bukan seorang wakil rakyat? Dan mengapakah akaun proksi dibuka bagi pihak YB Rafiz,” katanya.

Aduan dibuat hari ini juga rentetan daripada tindakan Jamal dua hari lalu yang membawa 16 kereta jenazah ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor sebagai tanda membantah skandal penyelewengan dana peruntukan.

Dalam aduan Jamal yang diserahkan hari ini, mendakwa dana awam negeri Selangor dianggar bernilai RM200 juta sudah disalah guna apabila ia disalurkan kepada ahli-ahli parlimen pembangkang yang berada di luar negeri itu.

“Tujuan kami hadir membuat laporan hari ini adalah supaya pihak berkuasa termasuk SPRM menyiasat beberapa persoalan yang timbul berkaitan dana awam tersebut yang disalurkan kepada ahli-ahli parlimen tertentu di daerah sekitar Hulu Langat, Gombak dan Petaling,” kata beliau.

Turut diserahkan bukti bersama surat dari Perbendaharaan Negeri Selangor bertarikh 13 Disember 2013 kepada pengurus cawangan Ambank yang memohon membuka akaun bagi skim Mesra Usia Emas di atas ahli parlimen Wilayah Persekutuan iaitu MP Cheras, Tan Kok Wai, MP Kepong Tan Seng Giaw, MP Batu Tian Chua, MP Wangsa Maju Tan Kee Kwong, MP Bandar Tun Razak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, MP Seputeh Teresa Kok dan MP Segambut Lim Lip Eng.

Jamal mempersoalkan mengapa semua ahli parlimen ini yang bukan dalam Selangor menerima peruntukan dana dari YAWAS ini.

“Mengapa wakil rakyat bukan dari Selangor tetapi Wilayah Persekutuan yang mendapat dana ini?” soal Jamal lagi.


Tiada ulasan: